Analisis kandungan asid organik dalam pelbagai jenis cuka buahan dengan menggunakan kromatografi cecair berprestasi tinggi

Category: Bil. 10 (2016)

Nur Yuhasliza Abd Rashid dan Shaiful Adzni Sharifuddin

Ringkasan

Cuka ialah cecair masam yang terdiri daripada komponen utama asid organik dan air. Asid organik yang terdapat dalam cuka bergantung kepada bahan mentah yang digunakan atau terhasil semasa proses penapaian. Kebiasaannya, jumlah keasidan cuka digambarkan dalam peratus keasidan merujuk kepada kandungan asid asetik yang merupakan asid organik utama. Asid laktik dan asid sitrik juga biasa ditemui dalam cuka, tetapi kandungannya adalah pada tahap minimum. Kaedah yang biasa digunakan untuk menentukan peratusan keasidan dalam cuka adalah dengan kaedah titratan, menggunakan larutan natrium hidroksida dan fenoftalin sebagai penanda visual. Namun, kaedah titratan ini adalah tidak spesifik, kurang sensitif dan kurang tepat untuk mengenal pasti kandungan asid organik pada kepekatan yang rendah. Dalam hal ini, penggunaan kaedah kromatografi cecair berprestasi tinggi (HPLC) yang telah dibangunkan didapati mampu menganalisis kandungan asid organik dengan tepat, spesifik dan sensitif. Kandungan asid organik yang terdapat dalam beberapa jenis cuka daripada air kelapa, nira nipah, epal, nanas, kurma dan cuka sintetik telah dianalisis dengan menggunakan kaedah kromatografi. Dengan menggunakan kaedah HPLC, asid organik seperti asid asetik, asid laktik dan asid sitrik yang hadir dalam cuka dapat dikenal pasti. Kaedah ini tidak memerlukan penyediaan sampel yang rumit dan hanya memerlukan satu kolum pemisah serta mengambil masa hanya 10 minit untuk menganalisis kandungan asid organik dalam sampel cuka.

Teks Penuh (374 KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.