MARDI Warna 98 – padi warna berkhasiat

Zaki Musa, Asfaliza Ramli, Hanisa Hosni, Kogeethavani Ramachandran, Siti Norsuha Misman, Mohd. Fitri Masarudin, Shamsul Amri Saidon, Rahiniza Kamaruzaman, Wahid Said dan Engku Hasmah Engku Abdullah

Ringkasan

MARDI Warna 98 (MW 98) ialah padi dengan lapisan bran merah yang kaya dengan antosianin. Penyelidikan dan pembangunan MW 98 telah bermula pada musim 2003/2004 dengan kacukan antara varieti tradisional Hijau Manis dan Jaya Malay. Varieti ini telah diisytihar pada 12 Februari 2018 di Sarawak dan mempunyai potensi hasil 4.5 – 6.7 t/ ha iaitu 18 – 24% lebih tinggi daripada padi warna MARDI MRM 16. Keistimewaan MW 98 adalah kandungan antosianin (73.7 mg cyanidin-3-glucosidase/100 g), mineral dan serat makanan (5.6 g/100 g) yang tinggi. Selain itu, MW 98 mempunyai tempoh matang yang pendek (109 – 112 hari) dan boleh ditanam dua kali setahun berbanding dengan induknya yang sensitif terhadap fotokala dan mempunyai tempoh kematangan yang lebih panjang (150 hari). MW 98 juga rintang terhadap karah daun, sederhana rintang terhadap karah tangkai serta penyakit merah virus. Bagaimanapun, ia sederhana rentan terhadap hawar daun bakteria, hawar seludang dan benah perang. Selain itu, MW 98 mempunyai beras yang panjang dan tirus (7.16 mm) dengan perolehan beras kepala sebanyak 85% dan mempunyai kandungan amilosa sederhana (20.3%). Beras dengan kandungan amilosa sederhana adalah lembut dan kebanyakannya disukai oleh rakyat Malaysia. Varieti MW 98 ini disasarkan untuk ditanam di kawasan luar jelapang terutamanya di Sarawak.

Teks Penuh (199 KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat & Kualiti, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232| E-mel: buletintm@mardi.gov.my
Copyright © 2019 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.