Garis Panduan Untuk Artikel

 

PENGENALAN

Buletin Teknologi MARDI diterbitkan dengan tujuan menyebarkan maklumat hasil daripada penyelidikan MARDI kepada kumpulan sasaran dengan lebih berkesan.

KANDUNGAN (CONTENT)

Artikel hendaklah memberi fokus kepada teknologi atau kaedah baru bagi mengatasi sesuatu masalah yang tertentu. Teknologi ini boleh digunakan terus atau merupakan suatu pembaharuan dalam satu-satu teknologi. Artikel boleh berupa gabungan beberapa penemuan yang boleh dijadikan suatu teknologi lengkap. Umpamanya dalam mengemukakan teknologi cantuman mangga, ia mestilah memberi gambaran teknologi lengkap terhadap teknologi cantuman anak benih, kaedah-kaedah, kos dan implikasi teknologi ini.

Di samping itu artikel bercorak ulasan (review) yang memberi gambaran secara keseluruhan industri sesuatu komoditi boleh juga dimuatkan. Contohnya, status atau senario, potensi dan cabaran komoditi tersebut. Syor-syor untuk membaiki (jika perlu) keadaan yang ada melalui teknologi baru perlu diterangkan.

Penulis hendaklah memikirkan bahawa maklumat yang akan disebarkan itu boleh diguna pakai oleh pembaca. Yang diperlukan ialah maklumat bukannya ‘raw data’ yang terpaksa dianalisis oleh pembaca sebelum ia digunakan. Oleh itu artikel ilmiah yang dikeluarkan dalam JTAFS (Journal of Tropical Agriculture and Food Science) boleh diubah suai cara persembahannya supaya maklumat yang disampaikan adalah jelas dan mudah difahami.

Sasaran pembaca ialah golongan IKS, pekerja pengembangan, pelajar dan mereka yang berminat untuk berkecimpung dalam bidang pertanian.

CARA PERSEMBAHAN (PRESENTATION)

Hasil penyelidikan hendaklah dipersembahkan dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami dengan mengurangkan istilah teknikal. Ilustrasi yang sesuai diperlukan untuk membantu pembaca memahami kandugan artikel.

(Peringatan: Ilustrasi (gambar, rajah dan gambar rajah) mestilah disertakan sekiranya perlu untuk menjelaskan lagi artikel dan bukan untuk menyerikannya)

FORMAT ARTIKEL

Artikel Buletin Teknologi MARDI hendaklah ditulis dalam bahasa Melayu. Sebagai panduan artikel hendaklah merangkumi bahagian-bahagian berikut:

Ringkasan (Summary)

  • Memberi gambaran secara ringkas tentang isi kandungan artikel tersebut dan implikasi teknologi yang dikemukakan.
  • Panjangnya tidak lebih daripada 200 perkataan.
  • Dalam dua bahasa (bahasa Melayu dan bahasa Inggeris).

Pengenalan

  • Memberi sedikit penerangan tentang latar belakang dan teknologi yang hendak disampaikan.

Penerangan mengenai teknologi yang disyorkan

  • Menerangkan dengan lengkap teknik yang sesuai digunakan berdasarkan hasil kajian yang telah dijalankan.
  • Kegunaan (applicability) teknologi.
  • Prestasi ataupun kebaikannya.
  • Memberi gambaran mengenai kekurangan atau kelemahan teknologi tersebut dalam keadaan tertentu. Misalnya powertiller tidak sesuai digunakan di atas tanah gambut atau tanah yang lembut.
  • Memberi cadangan yang boleh digunakan untuk mengatasi kekurangan tersebut. 
  • Implikasi kos

Bahagian ini bolehlah dipecahkan kepada beberapa tajuk kecil (sub-headings) untuk memudahkan penyusunan idea/isi dan memudahkan dari segi pembacaan.

Penghargaan
Penghargaan untuk kakitangan atau pihak terlibat secara langsung dengan kajian/artikel tersebut.

Bibliografi
Senaraikan bibliografi yang penting sahaja. Cara penulisan adalah mengikut garis panduan MARDI.

 

PENGHANTARAN ARTIKEL

Penerbitan ini dikategorikan sebagai penerbitan berwasit (refereed publication). Artikel perlulah melalui proses pewasitan di peringkat PTJ untuk semakan fakta. Artikel hendaklah dihantar kepada Setiausaha, Jawatankuasa Pengarang Buletin Teknologi MARDI bersama surat pengesahan daripada Pengarah PTJ berkenaan.

FORMAT SERAHAN ARTIKEL

Panjang artikel: 6 – 10 halaman(tidak termasuk jadual, rajah, gambar rajah, gambar dan bibliografi).

Font: Times New Roman 12 point, Fail Document.

Jarak dua baris (double spacing), cetak sebelah muka surat.

Gambar: Fail jpeg

 

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.