Pengurusan tikus dalam penanaman padi aerob

Category: Bil. 9 (2016)

Badrulhadza Amzah dan Sariam Othman

Ringkasan

Selain padi sawah, padi aerob juga tidak terkecuali mengalami serangan tikus. Oleh itu, pengurusan tikus yang berkesan penting bagi mengurangkan kerugian hasil dan mengelak kerosakan yang lebih serius. Menerusi pemantauan yang berterusan ke atas aktiviti tikus, strategi kawalan yang efektif dapat dirancang dan dilaksanakan dengan baik. Penggunaan perangkap fizikal dan amalan sistem pagar berperangkap didapati sangat berkesan mengurangkan populasi tikus pada aras serangan yang tinggi dan di kawasan padi aerob yang berhampiran sawah padi. Pemusnahan tikus dan lubang sarang secara fizikal juga berkesan jika dilaksanakan secara menyeluruh melibatkan komuniti pesawah. Amalan kultur yang bersesuaian seperti menjaga kebersihan persekitaran sawah dan menanam secara serentak juga dapat mengurangkan perkembangan populasi tikus. Pembinaan kotak sarang dan pemasangan kayu T di petak penanaman padi aerob atau kawasan berhampiran dapat membantu meningkatkan aktiviti pemangsaan burung hantu pungguk jelapang seterusnya mengurangkan bilangan tikus. Racun tikus jenis kronik, jika digunakan dengan kaedah yang betul dan wajar, turut dapat memberi kawalan yang berkesan. Penentuan keputusan mengambil tindakan kawalan populasi tikus bergantung kepada aras populasi tikus, sama ada rendah, sederhana ataupun tinggi. Integrasi pelbagai kaedah mengurus populasi tikus dapat diamalkan berasaskan keperluan setempat, kemampuan petani dan keadaan persekitaran dengan mengambil kira kesan kaedah yang digunakan terhadap ekonomi, kesihatan dan keselamatan petani dan kesannya terhadap kesejahteraan persekitaran.

Teks Penuh (355 KB)

 

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.