Penapaian fasa-pepejal: Penggunaan bakteria asid laktik dalam pembuatan silaj akasia

Category: Bil. 16
Published Date Written by Mahani

Nasyatul Ekma Mohd Hussin, Marini Ahmad Marzuki, Mohd Rosly Shaari, Nor Idayusni Yunus dan Siti Masidayu Mat Saad

Ringkasan

Proses penapaian merupakan salah satu kaedah pengawetan makanan yang paling lama wujud. Proses ini berlaku apabila mikrob seperti bakteria asid laktik (LAB) menggunakan bahan makanan sebagai substrat untuk membiak. Penapaian menggunakan inokulan LAB juga boleh meningkatkan nilai nutrisi dan kadar pencernaan makanan tersebut. Ia juga mempunyai keupayaan untuk mengurangkan kandungan komponen antinutrisi seperti tanin, terutamanya tanin tersejat, meningkatkan kebolehdapatan protein, serat dan tenaga. LAB juga banyak digunakan dalam pelbagai industri makanan dan telah memainkan peranan yang penting dalam proses pengawetan foraj segar untuk dijadikan sebagai makanan ternakan (silaj). Penggunaan LAB dalam silaj akasia (Acacia mangium) telah dijalankan dalam kajian ini, yang mana silaj tersebut telah diperam dalam dua tempoh yang berbeza iaitu selama dua minggu dan enam minggu. Nilai pH didapati telah turun kepada 4.46 pada umur silaj dua minggu. Namun begitu, kadar penurunan tanin dilihat lebih banyak pada umur silaj enam minggu, iaitu sebanyak 40% tanin telah berkurang. Nilai proksimat dan tenaga dalam silaj dua minggu dan enam minggu dilihat tidak memberikan banyak perbezaan dengan sampel akasia segar, kecuali kandungan tanin dan hemiselulosa. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa penggunaan LAB sebagai inokulan adalah digalakkan untuk membuat silaj daripada tumbuhan yang tinggi kandungan tanin seperti Acacia mangium.

Teks Penuh (207 KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat & Kualiti, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232| E-mel: buletintm@mardi.gov.my
Copyright © 2020 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.