Pengekstrakan kolagen daripada arnab

Written by Mahani

Nurul Fazliana Abdul Ghani, Dahlan Ismail, Marini Ahmad Marzuki dan Izuan Bahtiar Ab Jalal

Ringkasan

Kajian telah dijalankan untuk mengenal pasti peratusan kolagen di dalam otot dan tulang arnab muda dan arnab pencen. Pada masa kini, terdapat banyak pengeluaran kolagen dalam industri, tetapi isu utama adalah status halal kolagen tersebut. Banyak kolagen yang dihasilkan dalam industri pada masa kini adalah daripada sumber haiwan yang tidak halal. Arnab adalah haiwan yang halal dan mempunyai potensi sebagai sumber kolagen. Industri bioperubatan menggunakan arnab muda untuk mengekstrak hormon dan enzim, seterusnya karkas  arnab yang digunakan akan dibuang. Industri arnab pembaka pula akan membuang karkas arnab pencen yang tidak sesuai untuk dimakan. Sebagai alternatif untuk meningkatkan pengeluran kolagen halal, sisa daripada industri bioperubatan dan arnab pembaka boleh digunakan untuk penghasilan kolagen dan secara tidak langsung mengoptimumkan keuntungan kepada kedua-dua industri. Ini kerana karkas arnab boleh digunakan untuk menghasilkan kolagen daripada hanya dibuang begitu sahaja. Sampel daripada arnab muda (berumur 2 – 3 bulan) dan arnab pencen (berumur > 1 tahun) telah dipilih secara rawak. Dalam kajian ini, dua kaedah pengekstrakan kolagen digunakan. Kaedah pertama menggunakan asid asetik dan sodium hidroksida manakala kaedah kedua menggunakan amil alkohol, asid asetik dan sodium klorida. Perbandingan antara kolagen dalam otot dan tulang telah dijalankan bagi mengenal pasti sampel mana yang menghasilkan lebih banyak kolagen. Ketulenan kolagen ditentukan dengan analisis proksimat. Ujian kualiti gelatin menunjukkan tidak ada perbezaan ketara dalam warna gelatin yang terhasil yang mana semua gelatin berwarna kekuningan. Ujian tekstur menunjukkan kesemua gelatin adalah berlendir. Ciri yang berbeza bagi kedua-dua sampel adalah gelatin daripada otot lebih lembut manakala gelatin daripada tulang lebih kasar. 

Teks Penuh (887 KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.