Teknologi penanaman kubis bulat di tanah rendah secara organik

Illani Zuraihah Ibrahim, Theeba Manickam, Nur Liyana Iskandar, Siti Noor Aishikin Abdul Hamid, Farahzety Abdul Mutalib, Nur Syafini Ghazali, Noorlidawati Abdul Halim dan Rozlaily Zainol

Ringkasan

Teknologi pengeluaran kubis bulat di tanah rendah secara oganik oleh MARDI adalah salah satu usaha yang dijalankan untuk mengurangkan kebergantungan kepada import produk sayuran segar dari China dan Indonesia. Melalui teknologi ini, pakej lengkap pengeluaran kubis bulat organik tanah rendah boleh dijadikan panduan kepada petani dan pengusaha untuk mengusahakan penanaman kubis bulat secara organik. MARDI telah mengesyorkan varieti kubis bulat varieti F1 Hibrid 311 dan K33 untuk tanaman secara organik yang ditanam secara terbuka dan ditanam bercampur dengan tanaman lain dengan kepadatan optimum 2,000 pokok/ha. Hasil yang diperoleh mempunyai berat purata 1.3 – 2.0 kg/biji. Bagi pengurusan tanaman organik, baja BioRichar telah digunakan sebagai baja utama dan tambahan baja cecair foliar organik mengikut pengesyoran tertentu. Di samping itu, pengawalan perosak dan penyakit secara organik, kaedah secara fizikal iaitu menggunakan biopestisida MNPV dan juga mengguna pakai kaedah eko-kejuruteraan landskap bersama tanaman selingan bagi mengurangkan kadar kehilangan hasil. Untuk pengendalian lepas tuai, kualiti kubis bulat organik dapat dikekalkan sehingga empat hingga lima minggu melalui pembungkusan menggunakan plastik filem regang dan disimpan pada suhu 5 °C. Penilaian ekonomi bagi pengeluaran kubis bulat secara organik menunjukkan daya saing yang lebih tinggi dengan perbandingan penilaian secara unjuran berbanding dengan pengeluaran komersial. Faktor ini disokong oleh harga produk organik yang tinggi di pasaran tempatan.

Teks Penuh (697 KB)

 

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat & Kualiti, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232| E-mel: buletintm@mardi.gov.my
Copyright © 2020 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.