Hidrolisat protein berciri antioksida dan antihipertensi daripada isi ikan tilapia hitam

Madzlan Kasran dan Nor Salasiah Mohamed

Ringkasan

Hidrolisat protein ialah protein spesifik yang mengalami proses degradasi secara hidrolitik kepada komponen peptida yang lebih kecil sama ada secara berasid, beralkali atau melalui tindakan enzim proteolitik. Selain bertindak sebagai sumber nitrogen dan asid amino, ia mempunyai pelbagai fungsi fisiologi dalam badan. Hidrolisat protein yang mempunyai ciri-ciri antioksida dan antihipertensi daripada isi ikan tilapia hitam telah dihasilkan melalui hidrolisis secara berenzim menggunakan enzim papain. Kajian antioksida dan antihipertensi telah dijalankan ke atas hidrolisat protein yang dihasilkan. Dua kaedah analisis antioksida telah dijalankan iaitu perencatan radikal bebas 1,1-diphenyl-2-picrylhydrazyl (DPPH) dan asai kuasa penurunan ion ferik (FRAP Assay). Analisis antihipertensi pula berdasarkan perencatan angiotensin I converting enzyme (ACE) oleh hidrolisat protein. Darjah hidrolisis digunakan untuk mengukur tahap sesuatu proses hidrolisis. Darjah hidrolisis mencapai tahap yang optimum selepas empat jam hidrolisis dengan darjah hidrolisis mencapai 84%. Secara in vitro, hidrolisat protein menunjukkan aktiviti antioksida yang tinggi (perencatan radikal bebas DPPH sebanyak 90% dengan nilai IC50 0.47 mg/ml). Nilai FRAP pula adalah sebanyak 166 mM Fe(II)/g berat kering sampel. Aktiviti antihipertensi menunjukkan perencatan enzim ACE sebanyak 81% dengan tempoh hidrolisis optimum selama empat jam.

Teks Penuh (832 KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.