Inovasi alat dehidrator madu kelulut mudah alih DehydomeTM

Chua Hun Pin, Nicholas Daniel, Mohd Fazly Mail, Mohd Nur Hafiz Mat Azmin, Mohd Shukry Hassan Basri, Teresa Anie Meng dan Johairy Abdullah

Ringkasan
Madu kelulut adalah madu daripada lebah Heterotrigona itama telah dilaporkan mengandungi sebatian fenolik dan aktiviti antioksida yang tinggi dengan pelbagai manfaat kesihatan. Walaupun telah diiktiraf sebagai ‘superfood’, madu kelulut yang segar seringkali menghadapi masalah penyimpanan kerana mudah mengalami proses fermentasi dengan kandungan lembapan tinggi iaitu melebihi 30%. Ini mengakibatkan penapaian alkohol yang boleh mempengaruhi kandungan sebatian aktif dan menyebabkan kemerosotan jangka hayat madu kelulut. Oleh itu, madu kelulut memerlukan proses penyahidratan untuk mengurangkan kadar kelembapan sehingga keadaan stabil bawah 22%. Pada masa ini, kaedah penyahidratan yang digunakan oleh pengusaha kelulut adalah berbeza antara satu sama lain. Semua kaedah ini melibatkan proses termal seperti pendidihan berganda, pengeringan terbuka dan pengeringan ketuhar. Penggunaan haba yang tinggi dalam kaedah ini didapati boleh menjejaskan kualiti madu, misalnya menyebabkan kehilangan sebatian aromatik dan meningkatkan kandungan hidroksimetilfurfural (HMF). Dehidrator mudah alih berskala kecil iaitu DehydomeTM telah dibangunkan oleh MARDI sebagai alternatif untuk menggantikan kaedah ini bagi mengurangkan kelembapan madu kelulut pada suhu penyahidratan bawah 40 °C. Berdasarkan ujian prestasi pada prototaip, didapati DehydomeTM berkesan mengurangkan kelembapan madu kelulut pada tahap bawah 20% dalam tempoh 6 – 10 jam berbanding dengan kebanyakan kaedah lain yang mengambil masa lebih dari 24 jam. Inovasi alat dehidrator mudah alih ini boleh memberikan impak besar kepada perusahaan kelulut tempatan terutama dari segi pengurangan kos operasi pemprosesan madu serta membantu ke arah kelestarian industri kelulut di Malaysia.

Teks penuh (679KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.