Peningkatan sistem pertahanan terhadap penyakit mati rosot betik melalui kejuruteraan genetik tumbuhan

Rogayah Sekeli, Nazrul Hisham Nazaruddin, Nora’ini Abdullah, Amin Asyraf Tamizi, Noriha Mat Amin, Johari Sarip, Wee Chien Yeong, Nurain Izzati Saidi dan Roslinda Abdul Razak

Ringkasan

Betik Eksotika (Carica papaya L. cv. Eksotika) merupakan salah satu varieti betik komersial yang penting di Malaysia. Namun, industri betik negara diancam oleh penyakit mati rosot betik yang memberi kesan negatif kepada penghasilan dan pengeluaran hasil betik tempatan. Bagi mengawal penyakit ini, satu strategi alternatif untuk mengganggu sistem komunikasi atau penderiaan kuorum patogen Erwinia mallotivora dengan menggunakan pendekatan transgenik telah dijalankan. Gen yang berpotensi dan mempunyai ciri antipatogenik iaitu gen AHL-lactonase telah berjaya dipencilkan daripada dua jenis bakteria antagonis genus Bacillus dan divalidasi dengan pendekatan omiks. Kaset gen telah berjaya dibangun dan digunakan untuk mentransformasi kalus embriogenik betik yang berusia satu bulan dengan menggunakan kaedah transformasi berperantara Agrobacterium. Hasilnya, sebanyak 200 titisan betik transgenik yang positif telah berjaya diperoleh. Pokok-pokok transgenik kemudiannya diinfeksi dengan E. mallotivora untuk menilai tahap kerintangan terhadap patogen tersebut. Seperti yang dijangka, beberapa titisan pokok transgenik menunjukkan ketahanan terhadap patogen dan masih mampu bertahan selepas 45 hari diinfeksi manakala pokok kawalan mati selepas 7 hari. Penemuan ini membuktikan bahawa pengeluaran protein AHL-lactonase dalam titisan pokok transgenik mampu mengganggu sistem komunikasi bakteria patogen (atau dikenali sebagai pelindapkejutan kuorum) yang sangat penting untuk pertumbuhan dan kolonisasi patogen tersebut ke atas tumbuhan perumah.

Teks Penuh (689 KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.