Teknologi fermentasi: pencirian bakteria asid laktik berfungsi daripada fermentasi semula jadi dedak beras

Nur Yuhasliza Abd Rashid, Anisah Jamaluddin, Dang Lelamurni Abd Razak, Azlina Mansor, Amsal Abd Ghani, Shaiful Adzni Sharifuddin dan Musaalbakri Abd Manan

Ringkasan

Dedak beras adalah produk sampingan industri beras daripada proses penghasilan beras putih. Kandungan karbohidrat yang tinggi boleh digunakan sebagai sumber tenaga untuk menyokong pertumbuhan mikroorganisma. Proses fermentasi semula jadi telah dijalankan ke atas dedak beras untuk analisis dan pencirian bakteria asid laktik (BAL) yang mempunyai nilai berfungsi. BAL yang diperoleh telah diasingkan, dikenal pasti dan dijalankan analisis untuk ciri kefungsian seperti keupayaan mengeluarkan enzim dan aktiviti antimikrob. Kumpulan BAL ini telah lama memainkan peranan penting dalam persekitaran manusia sama ada dalam bentuk makanan ataupun dalam sistem penghadaman manusia. BAL juga telah lama digunakan sebagai kultur pemula dan kultur pemula tambahan untuk mencepatkan pengasidan bahan mentah melalui hasil utamanya iaitu asid laktik. Hampir 85% penggunaan asid laktik adalah dalam industri makanan manakala 15% dalam industri kosmetik dan perubatan. Proses penapaian semula jadi dedak beras telah dilakukan selama tiga hari dengan kaedah plat sebaran dan plat garisan terhadap medium MRSA. BAL yang berpotensi telah dikenal pasti dengan kaedah tindak balas rantaian polimerase. Sebanyak 30 kultur BAL telah dikenal pasti dengan analisis BLAST apabila 15 kultur BAL yang dikenal pasti telah dikategorikan sebagai P. acidilactici, 10 kultur BAL sebagai P. pentosaceus, 2 kultur BAL sebagai L. garvieae, 1 kultur BAL masing-masing sebagai W. confusa, L. coryniformis dan L. lactis. 

Teks Penuh (446 KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.