Enam varieti padi popular MARDI
Zainudin P.M.D. Hussain, Amirrudin Mokhtar, Badrulhadza Amzah, Marzukhi Hashim dan Mohd. Bahagia Abd. Ghafar
Ringkasan
Program biak baka dan pembangunan varieti padi di MARDI bermula dengan menggunakan sumber bahan tanaman yang diperoleh dari Jabatan Pertanian. Bahan kajian tanaman padi yang dijalankan adalah daripada bahan kacukan yang telah dibuat sekitar tahun 1967–1968. Pada awalnya, fokus utama pembangunan varieti baharu adalah untuk menghasilkan varieti yang sesuai dengan keadaan dan masalah pada masa tersebut, di samping menghasilkan varieti hasil tinggi serta rintang kepada penyakit dan perosak utama padi. Varieti tersebut juga sesuai dengan sistem amalan pertanian yang diperkenalkan dari masa ke masa. Kebanyakan varieti yang ditanam pada awal 1970- an merupakan baka tempatan atau tradisional yang dihasilkan daripada program biak baka oleh Jabatan Pertanian. Amalan kultur dan penanaman padi juga telah berubah dari satu musim tanaman kepada dua musim tanaman dalam setahun serta kaedah mencedung dan kaedah tabur terus sebagai pengganti untuk mengatasi masalah tenaga kerja dalam penanaman padi. Pada masa kini, lebih 95% kawasan jelapang diliputi oleh varieti yang terhasil daripada program biak baka padi MARDI yang telah diisytiharkan untuk kegunaan umum. Varieti-varieti ini telah banyak membantu petani-petani di MADA, KADA, Kerian dan juga kawasan-kawasan jelapang yang lain meningkatkan hasil, seterusnya menambah pendapatan dan ekonomi negara. Sesetengah varieti yang tidak diisytihar juga ditanam oleh petani atas keistimewaan tertentu. Walau bagaimanapun, data liputan rasmi tidak dapat menggambarkan dengan jelas taburan sesuatu varieti memandangkan terdapat laporan penanaman varietivarieti padi yang lain di sebahagian kawasan jelapang. Artikel ini melaporkan enam varieti MARDI yang popular serta pencirian varieti-varieti tersebut semasa pengisytiharan. Setiap varieti yang diperkenalkan oleh MARDI mendapat penerimaan baik dalam kalangan petani. Hasil kajian menunjukkan bahawa setiap varieti yang baharu akan mendapat liputan penanaman meningkat antara 3–7% di dalam jelapang dan luar skim pengairan setelah diisytiharkan untuk beberapa musim tanaman. Walau bagaimanapun, penerimaan dan liputan varieti tersebut akan berkurangan akibat masalah ketahanan atau rentan pada serangan perosak dan penyakit. Di samping itu, penurunan liputan adalah disebabkan oleh pengenalan varieti baharu oleh MARDI dari semasa ke semasa. Berikut adalah antara varieti yang diterima baik dalam kalangan petani di Semenanjung Malaysia.
Teks Penuh (3251 KB)