Pemetaan folikel ovari induk lembu menggunakan kaedah pengimejan ultrasonik
Azizah Amri, Ahmad Johari, Ajis Hassan dan Musaddin Kamaruddin
Ringkasan
Pengetahuan berkenaan pembangunan dan corak gelombang folikel boleh membantu penyelidik mengetahui tempoh kitaran estrus ternakan lembu betina. Pemahaman pembangunan dan corak gelombang folikel boleh dipelajari melalui pengimejan ultrasonik transrektal terhadap folikel dalam ovari. Ia dilakukan melalui pemetaan folikel setiap hari atau selang sehari dalam satu kitaran estrus. Pengetahuan tersebut sangat bermanfaat kepada penyelidik kerana boleh digunakan dalam membaiki program pembiakan secara terkawal yang menggabungkan teknik sinkronisasi ovulasi, teknik permanian beradas dan membentuk program permanian beradas tepat masa supaya kadar konsepsi dapat ditingkatkan. Kajian terhadap lembu betina Kedah-Kelantan masing-masing mempunyai 20% dan 80% corak 2- dan 3- gelombang folikel. Min masa ovulasi berlaku pada 89.05 jam dikira bermula dari alat pelepas hormon terkawal intravagina (CIDR) dikeluarkan. Pengetahuan berkaitan pembangunan folikel juga penting untuk menjalankan program pungutan oosit secara transvagina daripada induk penderma hidup untuk pengeluaran embrio secara persenyawaan in vitro.
Teks Penuh (1125 KB)