Burger cendawan daripada cendawan tiram kelabu

Mohd Irwani Hafiz Sahid, Norizah Md. Ayob, Aida Hamimi Ibrahim, Dayana Mohd Nezuri, Sharizan Ahmad dan Nur Baizura Sa’dom

Abstrak

Penanaman cendawan telah dikenal pasti berpotensi kerana ia menyumbang kepada imbangan perdagangan Malaysia. Ia telah dikenal pasti sebagai salah satu Projek Permulaan (EPP) di bawah Kawasan Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang melibatkan penanaman cendawan secara besar-besaran di Malaysia. Pengeluaran cendawan dianggarkan meningkat sebanyak 16% setahun daripada 15,000 tan metrik pada 2010 kepada 67,000 tan metrik pada 2020. Produk nilai tambah berasaskan cendawan perlu dibangunkan dan dipelbagaikan untuk mengukuhkan industri cendawan negara. Pada masa kini, penggunaan cendawan sebagai bahan utama produk makanan agak terhad dan pemasaran cendawan lebih tertumpu kepada penjualan cendawan segar kerana ia tidak stabil dan mudah rosak. Penghasilan produk makanan sejuk beku berasaskan cendawan boleh memanjangkan jangka hayat produk cendawan selain memberi nilai tambah kepada komoditi tersebut. Burger cendawan merupakan produk inovasi berasaskan cendawan daripada jenis cendawan tiram kelabu yang dikisar dan digaul bersama ramuan lain (Gambar 1). Cendawan tiram kelabu (Pleurotus sajor caju) merupakan jenis cendawan yang paling banyak ditanam secara komersial di Malaysia. Pemprosesan burger cendawan mempunyai banyak persamaan dengan pemprosesan daging burger.

Dari segi nilai pemakanan, burger cendawan merupakan makanan yang baik untuk kesihatan kerana mengandungi kandungan protein yang tinggi, lemak yang rendah dan tidak mengandungi kolesterol. Cendawan tiram juga dikatakan mempunyai nilai perubatan yang baik dan merupakan sumber serat diet. Cendawan tiram kelabu mengandungi sejenis serat yang dianggap sebagai agen antikolesterolemik yang dikenali sebagai ?-glukan. Kajian mendapati bahan ini boleh menurunkan paras kolesterol dalam darah. Selain itu, cendawan juga boleh meningkatkan sistem imunisasi, menurunkan tekanan darah, menghalang pertumbuhan sel barah, mengurangkan keradangan, tinggi antioksidan dan bersifat prebiotik. Peningkatan tahap kesedaran terhadap khasiat cendawan dalam kalangan pengguna menjadikan produk makanan berasaskan cendawan mendapat permintaan yang baik. Produk seperti burger, nuget dan sosej daripada cendawan juga boleh menjadi alternatif lain kepada produk seperti hasilan daging dan ayam yang mengandungi kandungan lemak dam kolesterol yang tinggi.

Teks Penuh (214 KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat & Kualiti, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232| E-mel: buletintm@mardi.gov.my
Copyright © 2019 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.