Penggunaan hormon B-Nine untuk penanaman senduduk cina dalam pasuan
Farahzety Abdul Mutalib dan Ab Kahar Sandrang
Ringkasan
Senduduk cina atau ‘Princess flower’ (Tibouchina urvilleana) adalah antara pokok renek berbunga yang semakin popular digunakan dalam landskap di Malaysia. Secara semula jadinya ia tumbuh merimbun dan boleh mencapai ketinggian sehingga 4.5 m. Penggunaan hormon perencat ialah teknik yang paling berkesan dan murah untuk mengawal pertumbuhan pokok supaya dapat ditanam di dalam pasu sebagai bunga pasuan. Hormon B-Nine (daminozide) merupakan salah satu hormon perencat yang biasa digunakan dalam industri florikultur yang bertindak sebagai antigiberelin. Hormon B-Nine yang disembur pada senduduk cina sangat berkesan mengurangkan ketinggian pokok dengan mengurangkan panjang ruas. Pemendekkan ruas akan menyebabkan pokok menjadi lebih kecil dan padat. Semburan hormon juga meningkatkan kadar pengeluaran bunga. Masa semburan dan kadar kepekatan hormon didapati mempengaruhi ketinggian dan pembungaan pokok senduduk cina. Semburan hormon pada keratan batang berukuran 4 – 5 cm semasa melakukan pembiakan pokok adalah lebih berkesan untuk mengawal tinggi pokok berbanding dengan semburan pada anak pokok muda dan pokok yang telah mempunyai kanopi. Peratus kadar pembungaan meningkat dengan peningkatan kepekatan hormon B-Nine. Walau bagaimanapun, kepekatan hormon B-Nine yang tinggi didapati melambatkan pembungaan. Rawatan terbaik untuk mengawal pertumbuhan dan pembungaan adalah pada kepekatan B-Nine 5,000 mg/liter dan diaplikasi pada keratan batang semasa melakukan pembiakan pokok.
Teks Penuh (190 KB)