Kajian bioavailabiliti dan farmakokinetik dukung anak bagi menjamin rawatan herba yang berkesan

Shazwan Abd Shukor

Ringkasan

Penyakit kardiovaskular dan diabetes merupakan penyakit yang semakin mendapat perhatian di seluruh dunia. Penambahan bilangan kes penyakit ini yang semakin meningkat dalam kalangan penduduk yang bekerja di negara membangun sangat membimbangkan. Penggunaan ubatan secara konvensional bagi mengawal penyakit ini telah diguna pakai secara amnya. Namun, dalam kebanyakan kes, ubatan ini mempunyai kesan sampingan. Para saintis telah giat untuk mengenal pasti terapi alternatif daripada sumber herba bagi mengawal penyakit degeneratif seperti kardiovaskular dan diabetes. Dukung anak (Phyllanthus watsonii) ialah herba yang dipilih untuk kajian ini kerana ia berpotensi dalam menunjukkan kesan antikardiovaskular dan anti-diabetik. Daripada profil kimia, didapati bahawa geraniin (sejenis ellagitannin) merupakan metabolit aktif yang terdapat pada kepekatan tinggi dalam dukung anak. Keputusan kajian bioasai menunjukkan ekstrak dukung anak mempunyai aktiviti antikolesterol dan antidiabetik. Untuk membuktikan geraniin ialah bahan bioaktif, ia perlu diserap dan dijadikan bioavailable pada sistem tubuh. Kajian bioavailabiliti dan farmakokinetik telah dijalankan untuk menilai kadar penyerapan, metabolisme dan perkumuhannya dalam sistem tubuh. Geraniin akan dimetabolismekan secara in vivo kepada metabolit kecil yang telah dikenal pasti sebagai urolithin. Berdasarkan penemuan sains, urolithin telah dibuktikan mempunyai aktiviti antiinflamasi dan antioksida. Justeru, ini menyokong fakta bahawa geraniin ialah penanda kimia bioaktif dalam dukung anak. Maklumat ini juga boleh digunakan untuk mendapatkan dos yang berkesan dan selamat untuk digunakan bagi menjamin rawatan herba yang efektif.

Teks Penuh (723 KB)

 

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat & Kualiti, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232| E-mel: buletintm@mardi.gov.my
Copyright © 2019 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.