Pembaharuan dalam kejuruteraan genetik tumbuhan: menuju ke arah teknologi gen bersih

Nazrul Hisham Nazaruddin dan Rogayah Sekeli

Ringkasan

Penggunaan gen penanda pemilihan merupakan satu kaedah yang penting untuk proses penyaringan tanaman transgenik dalam kejuruteraan genetik tumbuhan. Namun, penggunaan gen penanda pemilihan seperti gen rintang antibiotik mahupun herbisid telah mencetuskan kontroversi dan menimbulkan kebimbangan awam terhadap isu berkaitan biokeselamatan. Oleh itu, satu teknologi baharu telah dibangunkan iaitu teknologi gen bersih dan berperanan menghasilkan tanaman transgenik yang lebih selamat serta mematuhi akta biokeselamatan kebangsaan. Teknologi ini bertujuan untuk meningkatkan penerimaan orang awam terhadap produk transgenik dengan menangani kebimbangan khususnya tentang penggunaan gen penanda. Salah satu pendekatan yang telah diaplikasikan adalah
penggunaan penanda alternatif yang tiada atau rendah risikonya terhadap keselamatan manusia dan alam sekitar. Sebagai contoh, penggunaan gen phosphomannose isomerase yang terbukti selamat dan telah diuji dari pelbagai aspek termasuk kadar kecekapan transformasinya. Selain itu, pendekatan yang boleh digunakan adalah pembangunan tanaman transgenik yang bebas penanda pemilihan melalui sistem rekombinasi tapak spesifik di mana pemotongan gen
penanda dilakukan selepas proses penyaringan selesai. Oleh itu, aplikasi teknologi gen bersih merupakan contoh pendekatan yang penting dalam kejuruteraan genetik tumbuhan dan berupaya meningkatkan penerimaan orang awam terhadap tanaman transgenik serta produk hasilan transgenik pada masa akan datang.

Teks Penuh (260 KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.