Teknologi penyenyapan pengekspresan gen

Rogayah Sekeli, Nazrul Hisham Nazaruddin dan Amin Asyraf Tamizi

Ringkasan

Betik (Carica papaya L.) merupakan salah satu buah-buahan yang penting dalam industri eksport negara kerana mempunyai nilai komersial yang tinggi di peringkat antarabangsa. Tambahan pula, Malaysia pernah tersenarai di tangga keenam sebagai pengeksport utama betik pada tahun 2008. Betik Eksotika merupakan varieti betik tempatan yang popular dalam pasaran eksport antarabangsa. Namun, buah klimakterik ini mempunyai jangka hayat yang singkat disebabkan proses kemasakan yang cepat, seterusnya menyumbang kepada terhadnya pasaran eksport. Bagi mengatasi masalah lepas tuai ini, pendekatan kejuruteraan genetik tumbuhan telah dipelopori untuk melambatkan proses kemasakan buah. Pendekatan bioteknologi moden ini berfungsi dengan menghalang proses penghasilan gas etilena (C2H4) secara semula jadi. Secara amnya, gas etilena merupakan hormon yang bertanggungjawab menyebabkan kemasakan buah klimakterik seperti betik. Dua enzim utama yang terlibat dalam penghasilan gas etilena ialah ACC oxidase dan ACC syntase. Dengan menghalang pengekspresan gen yang mengekod enzim tersebut, penghasilan gas etilena boleh dikurangkan atau direncatkan. Dua teknologi penyenyapan gen yang diimplementasikan di MARDI ialah teknologi RNA antierti (antisense RNA) dan teknologi gangguan RNA (RNA interference-RNAi). Betik transgenik Eksotika dengan ciri pemanjangan tempoh kemasakan buah telah berjaya dihasilkan menggunakan kedua-dua teknologi ini dengan menghalang pengekspresan gen ACC oxidase. Berdasarkan kajian lapangan tertutup, penyenyapan gen ini tidak mengubah keadaan asal pokok selain hanya melambatkan proses kemasakan buah. Pokok betik transgenik Eksotika juga tidak menunjukkan sebarang keabnormalan berbanding dengan pokok kawalan.

Teks Penuh (425 KB)

 

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.