Teknologi penghasilan anak benih halia bara secara kultur tisu
Zuraida Ab Rahman, Ayu Nazreena Othman dan Hartinee Abbas
Ringkasan
Kultur tisu halia bara adalah satu teknik pembiakan mikro yang melibatkan proses penghasilan tisu tumbuhan yang kecil (eksplan) menggunakan medium bernutrien dalam keadaan steril bagi pengeluran bahan tanaman itu dalam kadar yang lebih banyak dan seragam. Kaedah in vitro ini perlu menjalani beberapa proses penting. Antara proses yang terlibat dalam penghasilan kultur tisu halia bara adalah pemilihan eksplan, pensterilan, inokulasi, subkultur, pengakaran dan aklimatisasi. Saiz dan umur bahan tanaman atau eksplan sangat mempengaruhi proses pengkulturan tisu. Umur eksplan sebaiknya tidak terlalu muda atau tua. Umur yang terlalu muda atau mata tunas yang terlalu kecil menyebabkan sel atau tisu tersebut mudah mati. Eksplan yang tua pula melambatkan pertumbuhan semasa proses pengembangan tisu. Eksplan yang baik adalah eksplan yang bersih dan sihat malah ia mudah membiak dengan cepat. Semasa proses pengkulturan dijalankan, terdapat eksplan yang gagal berkembang berpunca daripada masalah kontaminasi yang tinggi. Oleh itu, kaedah yang optimum bagi pensterilan memainkan peranan yang sangat penting bagi meminimumkan kontaminasi. Medium yang sesuai merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi kecepatan pertumbuhan eksplan. Medium propagasi dan pengakaran dengan gabungan hormon yang sesuai berjaya meningkatkan hasil 10,000 anak benih daripada satu pucuk. Aklimatisasi plantlet/anak benih kultur tisu dilakukan di dalam rumah kaca dengan kelembapan, cahaya dan suhu terkawal. Pemilihan plantlet yang sihat untuk ditanam adalah berdasarkan kepada warna daun yang lebih kepada hijau pekat/tua dan mempunyai akar yang banyak. Penjagaan yang terkawal dan penggunaan medium penanaman tanah yang sesuai berjaya membiakkan pokok kultur tisu halia bara pada kadar kehidupan mencapai 96%.
Teks penuh (1.99MB)