Pencirian karkas kambing Katjang, Boer dan kacukan Katjang-Boer (BK)
Izuan Bahtiar Ab Jalal, Mohamad Hifzan Rosali, Mohd Hafiz Abd Wahab, Predith Michael dan Saadiah Jamli
Ringkasan
Pencirian karkas merupakan antara aspek penting dalam penilaian ekonomi dalam setiap baka ternakan. Penilaian karkas amat berguna dalam menilai keupayaan dan kecekapan ternakan untuk menukar makanan kepada tisu otot dan akan menjadikan ternakan itu cepat membesar dengan kuantiti daging lebih banyak, seterusnya memberikan berat badan ternakan seperti yang disasarkan oleh perternak. Kajian telah dijalankan ke atas kambing Katjang, Boer dan kacukan Katjang-Boer (BK) pada umur 24 bulan yang dipelihara dalam sistem pengeluaran secara semi-intensif di MARDI Kluang, Johor. Kambing BK pada umur 24 bulan yang mempunyai berat matang sebanyak 44.74 kg, menghasilkan berat karkas 24.58 kg dan adalah lebih baik berbanding dengan kambing Katjang tulen yang hanya mempunyai berat matang 23.35 kg dan karkasnya hanyalah seberat 9.43 kg. Kambing Boer menunjukkan peratus pemotongan tertinggi (50.60%) berbanding dengan kambing Katjang dan BK (masing-masing 41.96% dan 49.88%). Nilai ini menunjukkan kambing BK hampir dapat menandingi kambing Boer dalam aspek peratus pemotongan. Nisbah penghasilan daging kepada sekilogram tulang mendapati kambing BK lebih tinggi (3.65:1) berbanding dengan kambing Boer (3.30:1) dan Katjang (2.50:1). Baka BK dilihat lebih baik secara keseluruhan, dari aspek pertumbuhan, pembiakan dan kualiti karkas. Nilai penghasilan daging yang lebih tinggi menunjukkan baka BK lebih kompak dan sesuai sebagai pilihan alternatif kepada penternak tempatan.