Pengenalpastian jujukan unik daripada gen kloroplas bagi penentuan dan pengesahan varieti durian premium terpilih

Category: Bil 24

Mohammad Malek Faizal Azizi, Lau Han Yih, Norliza Abu Bakar dan Faridah Salam

Ringkasan
Durian merupakan buah tropika bermusim di mana Malaysia merupakan salah satu negara Asia timur yang mempunyai lebih daripada 100 varieti durian yang ditanam untuk pasaran tempatan dan juga eksport. Dari pelbagai varieti ini, terdapat sebahagian varieti yang menjadi pilihan atas faktor keenakan, isi, aroma dan tekstur buahnya. Varieti kelas premium ini yang antaranya terdiri daripada Musang King dan MDUR88 merupakan varieti premium untuk ditanam selain mempunyai permintaan tinggi daripada penggemar durian. Ini menjadikan harganya lebih tinggi di pasaran sama ada dalam bentuk anak pokok untuk dijadikan sebagai bahan tanaman ataupun sebagai hasil segar. Walau bagaimanapun, pengenalpastian varieti durian boleh menjadi masalah disebabkan penilaian varieti ini kebanyakannya dilakukan berdasarkan bentuk daun, bentuk buah, aroma, rasa dan bentuk biji benih. Selain itu, beberapa jenis varieti durian menunjukkan persamaan ciri-ciri morfologi yang sukar untuk dibezakan dan dikenal pasti terutamaya dalam bentuk anak pokok. Di samping itu, identiti varieti durian yang hendak dikacuk perlu dikenal pasti terlebih dahulu bagi mengelakkan kekeliruan dan tersalah kacuk. Dengan menggunakan kaedah teknologi DNA, proses pengenalpastian identiti varieti durian dapat ditentukan dengan lebih spesifik dan mudah. Dalam kajian ini, penanda molekul atau barkod DNA dikenal pasti dan akan diaplikasi dalam menentukan perbezaan 10 varieti durian terpilih iaitu MDUR88, Musang King, D24, D99, D145, D168, D175, D200, MDUR78 dan MDUR79 dengan menggunakan dua calon gen iaitu nadhA dan PetB-PetD. Daripada hasil keputusan yang diperoleh, dua calon gen ini yang telah dikenal pasti menunjukkan potensi untuk digunakan dalam membezakan dan menentusahkan identiti 10 varieti durian melalui perbezaan nukleotid menerusi penjajaran jujukan DNA. Hasil kajian ini telah menyokong penggunaan penanda molekul atau barkod DNA yang telah dibangunkan ini untuk kajian selanjutnya bagi mengenal pasti dan menentukan varieti durian.

Teks penuh (742KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.