Penginduksian, proliferasi kalus dan regenerasi daripada bahagian apek meristem tanaman halia bara

Category: Bil 24

Zuraida Ab Rahman, Ayu Nazreena Othman, Hartinee Abbas dan Nur Najwa Arifah Basiron

Ringkasan
Halia bara (Zingiber officinale Rosc var. Rubrum) merupakan tumbuhan tropika yang penting serta mempunyai bahagian rizom yang amat bernilai untuk dijadikan sebagai rempah-ratus dan bahan herba. Kaedah kultur tisu in vitro merupakan kaedah alternatif bagi mempercepatkan pertumbuhan dalam kuantiti yang banyak berbanding dengan kaedah konvensional. Kajian kultur tisu penginduksian kalus dan regenerasi pucuk halia bara dijalankan bagi tujuan meningkatkan pengeluaran dan menghasilkan bahan tanaman halia bara yang bebas penyakit atau mikroorganisma. Dalam kajian ini, pucuk meristem apeks halia bara digunakan sebagai eksplan. Medium pertumbuhan MS yang dibekalkan dengan 0.5 mg/L 2,4-D menghasilkan kalus selepas 1 – 2 bulan dikulturkan. Kajian diteruskan lagi untuk penghasilan kalus embrio somatik. Medium kultur dengan gabungan hormon menghasilkan peratusan kalus embrio somatik hijau yang lebih tinggi berbanding dengan rawatan tunggal. Pengawal atur pertumbuhan memainkan peranan yang penting dalam mencetuskan embriogenesis somatik kalus. Regenerasi anak pokok daripada embrio somatik yang diperhatikan menunjukkan bahawa hormon TDZ dan IBA menggalakkan pertumbuhan pucuk yang lebih baik berbanding dengan hormon lain. Daripada pelbagai kepekatan yang telah diuji, keputusan menunjukkan bahawa kedua hormon ini dengan kepekatan 0.5 – 1.0 mg/L mengeluarkan bilangan pucuk yang paling tinggi.

Teks penuh (268KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.