Kesan pencahayaan LED dan UV ke atas alga dan mikroorganisma di dalam kilang tanaman
Nur Adliza Baharom, Farah Huda Sjafni Suherman, ZulaikhaMazlan, Siti Aisyah Abdullah, Mohammad Abid Ahmad, Farah Farhanah Haron dan Zulhazmi Sayuti
Ringkasan
Cahaya tidak hanya penting untuk pertumbuhan dan kualiti tanaman, namun ia juga penting untuk merangsang sistem pertahanan tanaman terhadap penyakit. Pendekatan menggunakan Light Emitting Diode (LED) untuk merangsang sistem pertahanan tanaman bagi pengawalan penyakit tanaman berpotensi untuk dibangunkan, namun mekanisme pengawalan ke atas penyakit tanaman salad masih belum diketahui. Kajian menunjukkan pencahayaan merah, biru dan hijau bertindak merangsang sistem pertahanan tanaman ke atas beberapa penyakit seperti Botrytis cinerea, Phytophthora capsici, Glomerella cingulata dan Pseudomonas syringae pada tanaman seperti salad, cili dan tomato. Penggunaan pencahayaan UV turut dilaporkan dapat mengurangkan masalah alga dan juga penyakit bawaan air. Sayur-sayuran yang ditanam di kilang tanaman ialah sayur-sayuran berdaun dan cenderung dimakan mentah. Oleh itu, pengurusan mikroorganisma adalah penting bagi memastikan ia selamat dimakan dan berkualiti. Selain itu, ketumpatan alga (algae density) yang tinggi akan menyebabkan kualiti air dan tanaman terjejas. Ia juga boleh menarik kehadiran serangga seperti fungus gnat (Bradysia sp.) dan shore fly ( Scatella sp.) serta penyakit disebabkan oleh Pythium spp. Kajian yang telah dijalankan di kilang tanaman MARDI bagi menilai kesan pencahayaan LED ke atas mikroorganisma dan kesan pencahayaan UV ke atas ketumpatan alga menunjukkan bahawa pencahayaan LED merah, biru dan hijau mengurangkan jangkitan penyakit di dalam kilang tanaman dan jumlah mikrob pada hasil tuaian. Ketumpatan alga turut berkurang apabila pencahayaan UV diberikan. Justeru, pencahayaan LED dan UV boleh dijadikan sebagai salah satu strategi pengurusan mikroorganisma dan alga bagi menjamin kualiti dan kebersihan hasil tuaian di kilang tanaman agar selamat untuk dimakan segar.