Pakej pembajaan spesifik penanaman padi bagi kawasan Skuduk-Chupak di Sarawak
Zaki Musa, Ernie Suryati Mohamad Zain, Liza Nuriati Lim Kim Choo, Siti Khatijah Jalal, Azrul Syahriman Haironi, Shamsiah Sekot, Jaraie Marali dan Hazanizam Ahmad Sedenan
Ringkasan
Satu pakej baja khusus telah dibangunkan untuk Skim Padi Skuduk-Chupak melalui syor pengurusan nutrien lokasi spesifik (SSNM). Ini sejajar dengan inisiatif untuk menambah baik insentif baja subsidi semasa daripada kadar blanket ke pendekatan menjurus mengikut lokasi. Pakej pembajaan ini dibangunkan melalui pelbagai langkah yang melibatkan penentuan status nutrien tanah dan pemetaan; mengenal pasti keperluan N, P dan K melalui teknik Nutrient Omission Plot; penentuan masa dan kadar pembahagian baja N dan verifikasi pakej di plot berskala besar. Daripada analisis tanah, semua data parameter utama kimia tanah kecuali jumlah nitrogen berada bawah nilai optimum untuk penanaman padi. Jumlah nitrogen ialah 0.22%, karbon organik 1.9%, fosforus tersedia 16.9 mg/kg, kalium yang boleh ditukar 0.08 cmol(+)/kg, kapasiti pertukaran kation 10.2 cmol(+)/kg dan pH 5.1. Data analisis tanah kemudian diinterpolasi menggunakan Kaedah Pembalikan Berat (IDW) untuk membangunkan peta taburan di seluruh skim yang meliputi kawasan seluas lebih daripada 200 hektar. Kajian Nutrient Omission Plot dijalankan selama dua musim berturut-turut bagi menentukan keperluan N, P dan K dengan hasil sasaran 5 t/ha. Daripada kajian ini, jumlah keperluan NPK untuk skim ini ialah 86.5:54.7:91.7 kg N, P2O5 dan K2O per hektar. Seterusnya kajian masa dan pembahagian baja N dilakukan selama dua musim dan dapatan kajian menunjukkan hasil yang tertinggi (5.03 t/ha) diperoleh apabila baja N diberikan 20% pada awal penanaman, 30% pada penanaman aktif dan 50% pada peringkat pembentukan tangkai (PI). Agihan 50% baja N pada peringkat PI menyumbang kepada jumlah tangkai (380), bilangan biji setangkai (126) dan peratusan biji bernas (81.6%) yang lebih tinggi berbanding dengan rawatan lain. Verifikasi pakej ini (P1) berbanding dengan pakej subsidi semasa (P2) di dalam plot berskala besar dengan keluasan satu hektar menunjukkan perbezaan hasil jumlah biji setangkai dan peratusan biji bernas yang signifikan. Pakej baru (P1) mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak 5.11 t/ha berbanding dengan 4.29 t/ha untuk pakej subsidi semasa (P2).