RiceFERT: Pengurusan baja secara lokasi spesifik untuk tanaman padi di Malaysia

Category: Bil 19

Theeba Manickam, Illani Zuraihah Ibrahim, Muhammad Zamir Rashid, Mohd Naim Fadzli Abdul Rani, Mohd Aziz Rasul, Norziana Zin Zawawi, Noorsuhaila Abu Bakar, Muhammad Syahren Adzahar, Nor Syahidah Mat Sam, Hasliana Kamaruddin, Nor Fadilah Abd Halim, Mohd Najib Mohd Yusoff dan Haryati Mansor

Ringkasan

Purata hasil pengeluaran padi nasional di Malaysia ialah 4.5 t/ha dengan tahap sara diri (SSL) yang lebih rendah daripada 75%. Pengurusan baja yang cekap merupakan salah satu faktor penting yang menyumbang kepada produktiviti yang tinggi. Skim subsidi baja padi semasa menyediakan kadar blanket dengan sedikit perbezaan dari segi kadar baja fosforus di antara Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia, tanpa mengambil kira kapasiti bekalan nutrien tanah dan sasaran hasil tanaman yang dicapai di lokasi spesifik. Pengesyoran baja secara lokasi spesifik adalah berdasarkan kepada pendekatan ‘status tanah sasaran hasil’ yang dibangunkan dalam perisian RiceFERT sebagai sebahagian daripada sistem pertanian tepat bagi jelapang padi terpilih di kawasan subur dan kurang subur. Anggaran kadar baja dilaksana berdasarkan empat komponen penting iaitu status nutrien tanah, status kesuburan tanah, keperluan nutrien tanaman dan hasil sasaran padi menggunakan data primer dan sekunder. Pengiraan keperluan baja nitrogen, fosforus dan kalium (NPK) sehektar dijalankan menggunakan kapasiti bekalan tanah di lokasi spesifik berdasarkan keupayaan pertukaran kation (KPK) dan kecekapan penggunaan nutrien baja bagi sumber baja semasa tanaman padi. Kajian pengesahan bagi dua musim telah dijalankan di salah satu kawasan jelapang utama di Pantai Barat Semenanjung Malaysia (IADA Seberang Perai) berdasarkan kadar pengesyoran daripada perisian RiceFERT. Keputusan kajian menunjukkan bahawa anggaran kadar baja lokasi spesifik berupaya mencapai hasil 7.8 t/ha untuk lokasi terpilih dengan sasaran hasil 8 t/ha, dan hasil 7.03 t/ha bagi lokasi terpilih dengan sasaran hasil 7 t/ha. Berdasarkan penemuan kajian, peta pengesyoran baja lokasi spesifik bagi baja N, P dan K telah dibangunkan untuk kawasan jelapang bagi kegunaan agensi pengembangan padi di Malaysia.

Teks Penuh (421 KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.