Kotak sarang lekap pokok – Kaedah kawalan biologi kos rendah untuk kawalan tikus sawah

Category: Bil 25

Badrulhadza Amzah

Ringkasan
Tikus sawah merupakan antara perosak utama tanaman padi. Salah satu kaedah pengawalan perosak ini adalah dengan menggunakan pungguk jelapang atau Tyto alba javanica. Pungguk jelapang adalah agen kawalan biologi tikus sawah yang sangat berkesan. Bagi menggalakkan atau meningkatkan populasi pungguk jelapang di kawasan sawah padi, kotak sarang buatan haruslah didirikan di sekitar sawah sebagai tempat berlindung dan membiak. Pada masa kini, kebanyakan kotak sarang
buatan yang terdapat di sawah padi diperbuat daripada gentian kaca dan didirikan pada tiang besi. Penggunaan tiang besi memerlukan kos yang tinggi selain berisiko dicuri kerana harganya yang mahal. Di MADA umpamanya, didapati banyak kotak sarang bertiang ini telahpun rosak kerana tiangnya telah dicuri. Bilangan kotak sarang yang semakin berkurang akan menyebabkan penurunan populasi pungguk jelapang di sawah padi. Bagi menyelesaikan masalah ini, pemasangan kotak sarang buatan yang diperbuat daripada papan lapis pada pokok dilihat sangat sesuai dan praktikal. Penggunaan papan lapis juga adalah lebih murah berbanding dengan gentian kaca. Pemasangan kotak sarang adalah pada bahagian batang pokok seperti pada pokok kelapa dengan ketinggian 15 – 20 kaki dan bukannya pada tiang. Pungguk jelapang akan datang dengan sendirinya menghuni kotak sarang tersebut. Penggunaan kotak sarang yang dipasang pada pokok ini masih baru dan belum pernah dipraktikkan di kawasan sawah padi di Malaysia. Potensi penggunaannya adalah tinggi kerana kotak sarang pokok ini merupakan satu teknologi yang berkos rendah, mesra alam, dan menekankan peranan kawalan perosak secara semula jadi. Pemasangan bilangan kotak sarang pokok yang banyak di kawasan sawah akan meningkatkan populasi pungguk jelapang seterusnya mengurangkan kadar serangan tikus pada tanaman dan hasil dapat ditingkatkan. Teknologi ini amat mudah, murah dan boleh dilakukan sendiri oleh petani selain mempunyai potensi untuk dikomersialkan.

Teks penuh (294KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.