Teknik pengecaman padi angin di lapangan
Chong Tet Vun, Mohamad Rodzi Shafiee, Nurul Ain Abdul Aziz dan Bashiroh Ahmad
Ringkasan
Padi angin merupakan salah satu perosak utama dalam penanaman padi. Di lapangan, pokok padi angin mempunyai morfologi yang sama atau hampir sama dengan pokok padi kultivar. Hal ini menyebabkan petani tidak dapat membezakan antara padi angin dengan padi kultivar. Di dalam sawah padi, pemeriksaan setiap pokok padi adalah tidak praktikal sekiranya dilakukan untuk mengecam kehadiran padi angin. Adalah lebih wajar jika pengesanan dan pengecaman secara visual iaitu memerhatikan padi angin dengan mata kasar. Pengesanan padi angin secara visual akan dapat memeriksa petak sawah yang luas dalam masa yang singkat. Berdasarkan maklumat morfologi padi angin yang berbeza dengan padi kultivar, petani akan dapat mengesan kehadiran padi angin dan seterusnya mengambil tindakan untuk menyingkirkan padi angin. Ciri-ciri perbezaan morfologi padi angin dengan padi kultivar adalah mengikut peringkat pertumbuhan padi. Semasa biji padi angin pecah mata atau bercambah, kulit biji padi angin adalah berlainan warna dengan padi kultivar. Saiz biji padi angin juga adalah berlainan dengan padi kultivar. Pada peringkat awal vegetatif, pokok padi angin adalah sama tinggi dengan padi kultivar. Kebiasaannya, sebilangan pokok padi yang lebih tinggi daripada padi kultivar akan dapat dilihat pada akhir peringkat vegetatif. Pada peringkat vegetatif, warna daun padi angin kelihatan lebih pucat (hijau kekuningan) berbanding dengan daun hijau padi kultivar dan saiz daun pula lebih panjang menirus dengan daun pengasuh berkedudukan tegak seperti padi kultivar. Pada peringkat berbunga sehingga matang, terdapat pokok padi angin yang lebih tinggi daripada padi kultivar, mempunyai daun pengasuh yang kebanyakannya bersudut condong tidak seperti daun pengasuh padi kultivar yang tegak (kecuali daun pengasuh varieti UKMRC yang condong seperti padi angin). Pada sebelah pagi semasa pokok padi masih dalam keadaan basah (oleh embun atau hujan), kulit biji padi angin kelihatan berwarna perang-kemerahan dan kulit padi kultivar berwarna perang-kekuningan. Di lapangan, dapat dilihat juga ada sesetengah padi angin adalah jenis berjejanggut.