Varieti padi toleran kepada tekanan air masin sebagai sumber genetik padi bagi menangani isu perubahan iklim di Malaysia

Category: Bil. 26

Site Noorzuraini Abd Rahman, Mohammad Hariz Abdul Rahman, Mohd Shahril Firdaus Ab Razak, Mohd Ramdzan Othman dan Nur Idayu Abdul Rahim

Ringkasan
Tekanan air masin merupakan salah satu faktor penyebab kepada penurunan pengeluaran hasil padi. Di Malaysia, tekanan air masin berlaku disebabkan oleh kejadian kelimpahan air laut yang memasuki kawasan sawah padi. Tekanan air masin menyebabkan perencatan osmotik dan ketoksikan ion yang akhirnya menganggu prestasi pertumbuhan pokok padi. Memandangkan tekanan air masin menyebabkan kesan serius kepada pengeluaran hasil padi, justeru menjadi satu keperluan kepada negara untuk mengenal pasti sumber genetik padi yang toleran kepada air masin bagi memenuhi keperluan pengusaha sawah padi yang menghadapi risiko kelimpahan air laut. Sumber genetik ini juga penting untuk keperluan penyelidikan dan pembangunan varieti padi baharu. Kajian tekanan air masin dijalankan pada peringkat anak semai pada usia 20 hari selepas disemai dan tekanan air masin dikenakan pada bacaan 12dS/m selama 20 hari. Kajian ini dilaksanakan dalam dua fasa untuk menilai potensi yang ada pada lebih banyak sumber genetik padi. Hasil kajian ini berjaya mengenalpasti KHAO TAH HAENG, CITANDANG, MAYANG KELUBI, KAO SAARD 108, AZUCENA, dan NAM DOCK MAI 2028 (saringan 1); manakala KETIAN GADJIH, KAO SAARD 108, KHAO TAH HAENG, KARENGGA 78, LUI UOI, SINANDOMENG, NEP TRUNG VIT, ROJOLELE, UTRI MERAH dan RATNAGIRE (saringan 2). Varietivarieti ini menunjukkan prestasi pertumbuhan yang baik dalam keadaan air masin serta mempunyai kesamaan genetik dengan varieti kawalan iaitu POKKALI yang mempunyai kehadiran gen toleran air masin, saltol.

Teks penuh (4.38MB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.