Saringan dan pemilihan titisan baikbaka padi tempatan dengan ciri tahan kemarau
Rahiniza Kamaruzaman, Shamsul Amri Saidon, Mohd Shahril Firdaus Ab Razak, Yusoff Mahmat, Norhidayah Zakaria, Mohammad Hariz Abdul Rahman, Norlida Mohamed Hamim, Mohd Aziz Rashid, Fauzi Jumat, Site Noorzuraini Abd Rahman, Mohamad Zabawi Abdul Ghani, Zakiah Mohd Zuki, Hamidah Mohd Sarif, Elixon Sunian dan Asfaliza Ramli
Ringkasan
Kemarau atau kekurangan air merupakan satu daripada tekanan abiotik yang menyebabkan pengurangan hasil pada tanaman padi. Penanaman varieti padi yang tahan telah dibuktikan sebagai pendekatan yang terbaik dalam meminimumkan pengurangan hasil semasa berlakunya kemarau. Namun begitu, kebanyakan varieti-varieti padi moden mempunyai tahap ketahanan yang rendah terhadap kemarau. Oleh yang demikian, terdapat keperluan untuk membangunkan varieti padi tempatan yang tahan kemarau bagi mengurangkan kerugian yang dialami oleh petani. Penambahbaikan ciri tahan kemarau ini telah dilaksanakan dengan mengintrogres gen tahan kemarau ke dalam varieti padi elit tempatan MARDI Siraj 297 dengan pemilihan berbantukan penanda molekul (MAS). Kaedah saringan fenotipik yang sesuai juga memainkan peranan yang penting dalam membuat pemilihan titisan baikbaka yang membawa ciri ini. Tahap keterukan kemarau pada peringkat pertumbuhan tanaman yang berbeza juga memberi kesan negatif terhadap morfologi dan komponen hasil padi. Kajian ini mendapati gen berkait pemanjangan akar ini dapat membantu pokok padi dalam mengurangkan kehilangan hasil padi jika berlaku tegasan kemarau di peringkat reproduktif. Di samping itu, MAS telah berjaya membantu pembaikbaka menyingkirkan titisan yang tidak membawa gen tersebut di peringkat awal dan saringan dapat memfokuskan kepada titisan yang membawa gen tahan kemarau sahaja. Kesimpulannya, kombinasi saringan genotipik dan saringan fenotipik yang sesuai dapat membantu pembaikbaka membuat pemilihan titisan baikbaka yang berpotensi dengan lebih tepat dan mengurangkan jumlah populasi baikbaka yang perlu disaring pada setiap musim.