Tumbesaran ikan tilapia merah dalam kolam kanvas diberi makan makanan rumusan MARDI
Joseph Maripa Raja, Noor Hafidz Abdollah dan Muhammad Fariq Hamzah
Ringkasan
Dalam industri penternakan akuakultur di Malaysia, ikan tilapia merah (Oreochromis sp.) merupakan antara spesies ikan air tawar yang banyak diternak dan dikenali sebagai ayam akuatik. Penternakan ikan tilapia merah merupakan salah satu sumber ekonomi kepada penternak ikan tempatan. Walau bagaimanapun, kebelakangan ini penternakan ikan menghadapi persaingan dengan sektor pertanian lain dari segi penggunaan tanah untuk pembinaan kolam ikan. Di kawasan yang berbukit bukau dan bertanah pasir yang poros air, penggunaan kanvas atau pondliner adalah lebih bersesuaian. Dalam penternakan ikan, makanan merupakan faktor yang penting iaitu merangkumi 40 – 60% daripada kos pengeluaran ikan tilapia. Oleh itu, satu kajian telah dijalankan untuk menilai keberkesanan makanan rumusan MARDI (diet A dan B) bagi mengurangkan kos makanan ikan tilapia. Dalam kajian ini, makanan komersial telah digunakan sebagai kawalan positif yang mana kandungan protein kasar bagi kesemua jenis makanan yang diuji adalah sama. Kajian menunjukkan bahawa prestasi makanan MARDI A dan B adalah setanding dengan makanan komersial pada kos yang lebih rendah iaitu RM 3.00/kg berbanding dengan makanan komersial RM3.95/kg.