Pengkrioawetan semen pejantan Katjang x Boer
Julie Marzlinda Mohd Razaki, Muhammad Khairul Azwan Maslan, Siti Aishah Haji Abdullah, Azrikin Shah Aziz dan Muhamma Syafri Famin Ahmad Azli
Ringkasan
Proses krioawetan atau penyejukbekuan semen dijalankan untuk tujuan penyimpanan semen pejantan terpilih. Semen yang dikrioawet ini digunakan untuk pembiakbakaan serta memelihara sumber genetik yang berkualiti agar produktiviti ternakan dapat dipertingkatkan. Antara faktor yang mempengaruhi kualiti semen yang dikrioawet adalah melalui kaedah pungutan semen yang baik, penilaian kualiti semen segar yang dipungut, komponen larutan ekstender yang digunakan dan proses krioawetan yang teliti. Bahan antioksidan dalam larutan ekstender tris-egg yolk mampu membantu sel sperma meningkatkan daya hidup. Namun, kajian ke atas penggunaan telur kuning yang diperkaya dengan selenium dan omega menunjukkan tiada perbezaan signifikan dengan telur biasa. Oleh itu, kajian lanjut diperlukan seperti kepelbagaian kepekatan atau nisbah telur kuning yang diperkayakan ini untuk melihat keberkesanannya dalam meningkatkan kualiti semen sejuk. Dengan penggunaan sela masa empat jam masa keseimbangan semasa memproses penyejukbekuan semen Katjang x Boer dapat meningkatkan lagi kualiti semen nyahbeku. Oleh itu, dalam mengoptimumkan kualiti semen nyahbeku pejantan Katjang x Boer, pelbagai kajian perlu dijalankan agar semen yang dikrioawet berkualiti tinggi dan dapat digunakan dalam pengembangan baka melalui kaedah permanian beradas.