Penerimaan pengguna terhadap Ayam Saga pada peringkat umur berbeza melalui ujian penilaian sensori
Muhammad Mohd Sabri, Norra Ismail, Norhartini Abdul Samad, Nooraisyah Saharani dan Noraini Samat
Ringkasan
Kajian ini membandingkan daging Ayam Saga yang dituai pada beberapa peringkat umur dengan menggunakan atribut ujian sensori untuk mengenal pasti pilihan pengguna terhadap daging ayam kampung. Tiga kumpulan Ayam Saga (n = 90, 30/kumpulan) iaitu ayam berumur 12 minggu (AKM12), 20 minggu (AKM20) dan 40 minggu (AKM40) telah disembelih secara sembelihan halal pada hari yang sama. Daging pada bahagian dada telah diambil, kemudian dipotong bersaiz 2.0 cm x 2.0 cm dan dikukus selama 4 minit. Hasil analisis ujian sensori yang dilakukan oleh panel terlatih ini menunjukkan bahawa aspek tekstur dan rasa hanyir dalam kumpulan AKM20 dan AKM40 adalah tinggi dan terdapat perbezaan daripada kumpulan AKM12. Walau bagaimanapun, secara keseluruhan, AKM12 telah menjadi daging pilihan kerana ia lebih lembut, berair dan kurang berbau hanyir jika dibandingkan dengan kumpulan lain. Faktor umur tuai bagi ayam kampung terutamanya Ayam Saga boleh mempengaruhi keputusan pengguna dalam memilih daging ayam kampung. Di samping membantu membentuk pasaran niche untuk daging ayam kampung, ia juga dapat membantu mengurangkan kos penternakan disebabkan ayam dapat dituai lebih awal. Dengan kualiti yang baik, kos pengeluaran yang lebih rendah, Ayam Saga dapat merangsang peningkatan pasaran dan membangunkan industri ayam kampung khususnya Ayam Saga.