Kesan inokulasi bakteria asid laktik terhadap kualiti silaj batang jagung

Category: Bil. 28

Nasyatul Ekma Mohd Hussin, Tosiah Sadi, Mohd Rosly Shaari, Marini Ahmad Marzuki, Dzulfazly Aminuddin, Roslan Othman, Mohd Azlan Mohd Salehhudin, Khairul Azwan Maslan, Hazirah Azman, Md Tasol Sagiman dan Siti Masidayu Mat Saad

Ringkasan
Jagung manis adalah tanaman yang popular di Malaysia. Sisa batang jagung yang terhasil selepas musim penuaian jagung masih mengandungi sumber nutrien yang baik dan sesuai untuk dijadikan sebagai makanan lembu. Penambahan bakteria asid laktik (LAB) dapat meningkatkan kualiti silaj. Semasa proses fermentasi silaj, LAB akan menghasilkan asid laktik, justeru menurunkan nilai pH dengan lebih cepat berbanding dengan proses fermentasi biasa. Keadaan yang berasid ini juga akan menghalang percambahan mikroorganisma perosak bagi membolehkan nilai pemakanan silaj dipelihara. Terdapat dua kumpulan bakteria fermentasi laktik iaitu bakteria homofermentatif dan bakteria heterofermentatif. Bakteria homofermentatif menghasilkan asid laktik sebagai produk fermentasi utama mereka manakala bakteria heterofermentatif menghasilkan asid laktik, etanol, asetat dan karbon dioksida. Satu kajian telah dijalankan untuk memeriksa kesan bakteria asid laktik terhadap kualiti silaj batang jagung yang mana silaj jagung tersebut disediakan dengan menggunakan sistem fermentasi bersaiz kecil (dalam tong plastik 5 L) dan sebanyak 105 bakteria per gram foraj dimasukkan bagi setiap kumpulan yang berbeza. Silaj dibuka setiap minggu selama tempoh 21 hari fermentasi. Komposisi kimia termasuk proksimat, tenaga dan serat telah ditentukan. Kajian awal telah dijalankan bagi mengenal pasti kesan silaj yang ditambah LAB terhadap prestasi pertumbuhan lembu Brakmas. Sebanyak enam ekor lembu jantan pada usia 18 bulan telah digunakan bagi setiap kumpulan. Konsentrat diberikan sebanyak 40% daripada berat kering, manakala silaj jagung pula diberikan sebanyak 60% daripada berat kering. Melalui analisis yang dijalankan didapati bahawa penambahan LAB dalam silaj jagung dapat mengekalkan lebih banyak kandungan protein kasar berbanding dengan silaj yang tidak dirawat. Melalui kajian ini juga sebanyak 17% peningkatan telah dilihat terhadap jumlah kenaikan berat badan dan ADG bagi lembu yang menerima silaj terawat iaitu 748 g/hari berbanding dengan 636 g/hari pada kumpulan kawalan. Manakala nilai FCR telah berjaya dikurangkan kira-kira 14% berbanding dengan kumpulan kawalan yang membawa kepada kurangnya pemberian makanan dan memberikan kos pengeluaran yang lebih baik. Kesimpulannya, penambahan mana-mana kumpulan LAB dapat memelihara lebih banyak protein kasar dalam silaj batang jagung, justeru dapat meningkatkan prestasi pertumbuhan lembu.

Teks penuh (199KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.