Kesan pemberian bakteria asid laktik terhadap prestasi pertumbuhan lembu Brakmas

Category: Bil. 28

Nasyatul Ekma Mohd Hussin, Mohd Rosly Shaari, Marini Ahmad Marzuki, Dzulfazly Aminuddin, Nur Aisyah Ismael, Roslan Othman, Mohd Azlan Mohd Salehhudin, Khairul Azwan Maslan, Hazirah Azman, Md Tasol Sagiman dan Mohamad Noorazmi Mohd Zinal

Ringkasan
Peningkatan kes kerintangan bakteria terhadap antibiotik di kebanyakan negara telah menimbulkan kebimbangan. Ini termasuklah melalui pemberian hormon dan bahan penggalak tumbesaran berasaskan antibiotik kepada ternakan ruminan. Oleh itu, penggunaan bahan ini dalam industri ternakan telah diharamkan oleh kebanyakan negara di dunia terutamanya negara-negara Eropah. Justeru, penggunaan direct-fed microbe (DFM) telah mula diminati dan digunakan oleh kebanyakan penternak. Kajian berkaitan DFM juga telah banyak dijalankan oleh para saintis di seluruh dunia. Namun begitu, kesan DFM dilihat tidak seragam dan ia dipengaruhi beberapa faktor seperti jenis mikrob yang digunakan serta cara penyediaan mikrob tersebut sebelum diberi makan kepada ternakan. Kajian telah dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Sains Ternakan MARDI yang mana DFM yang digunakan adalah terdiri daripada kumpulan bakteria asid laktik (LAB) dan lembu yang digunakan ialah lembu Brakmas yang diletakkan dalam petak individu. LAB diberi secara oral dalam jumlah 107 cfu bagi setiap ekor lembu pada setiap hari selama 12 minggu. Berat badan ternakan ditimbang setiap dua minggu dan jumlah pengambilan makanan dikira secara harian. Daripada kajian yang dijalankan, didapati bahawa pemberian LAB dapat meningkatkan kenaikan berat badan sebanyak 25.79%. Jumlah kenaikan berat bagi kumpulan LAB dan kumpulan kawalan, masing- masing ialah 67.3 kg dan 53.3 kg manakala kenaikan berat harian (ADG) juga turut meningkat sebanyak 35.64% dalam kumpulan LAB. Nilai ADG bagi kumpulan LAB telah dicatatkan sebanyak 869.2 g/hari, manakala ADG bagi kumpulan kawalan mencatatkan jumlah sebanyak 640 g/hari. Kadar penukaran makanan (FCR) juga telah ditambah baik yang mana FCR bagi kumpulan LAB dan kawalan masing-masing adalah pada 11.39 dan 13.59 dengan penambahbaikan sebanyak 16.19%. Melalui kajian ini, dapat disimpulkan bahawa penambahan LAB ke dalam diet lembu Brakmas dapat meningkatkan prestasi pertumbuhan serta menambah baik nilai FCR. Namun begitu, kajian yang lebih mendalam adalah perlu terutamanya bagi mengenal pasti kesan penambahan LAB terhadap sistem pencernaan dan tahap keselamatannya terhadap kesihatan lembu di ladang.

Teks penuh (253KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.