Kesan faktor antipemakanan dalam daun ubi kayu terhadap kambing Katjang
Mohd Rosly Shaari
Ringkasan
Daun ubi kayu didapati mengandungi kandungan protein, mineral dan vitamin tinggi. Kadar degradasi daun ubi kayu juga didapati setanding dengan konsentrat bijirin seperti jagung dan kacang soya. Justeru, daun ubi kayu dapat digunakan sebagai suplemen protein untuk menggantikan konsentrat bijirin sehingga 50% dalam diet ruminan. Walau bagaimanapun, penggunaannya secara meluas sebagai makanan ternakan adalah terbatas disebabkan oleh kehadiran faktor antipemakanan yang utama iaitu hidrogen sianida. Hidrogen sianida yang terdapat di dalam daun ubi kayu akan didetoksifikasikan kepada thiosianat apabila dimakan oleh ternakan. Kajian yang dijalankan ke atas sekumpulan kambing Katjang mendapati kadar detoksifikasi sianida pada kambing dalam kedua-dua kumpulan rawatan dos tinggi (7 mg HCN/kg) dan dos rendah (4 mg HCN/ kg) menurun secara beransur-ansur dari hari pertama hingga hari terakhir (hari 21) kajian. Ini menunjukkan bahawa keupayaan untuk menyahtoksin sianida berkurangan dari masa ke masa. Kadar detoksifikasi yang semakin rendah mengakibatkan berlakunya pengumpulan thiosianat yang tinggi di dalam hati pada kambing di dalam kumpulan dos tinggi. Kajian mendapati tahap sianida yang rendah di dalam daun ubi kayu tidak menyebabkan ketoksikan kepada kambing.