Napier Pak Chong: Foraj berpotensi untuk industri ternakan ruminan tempatan
Siti Syamsiah Ismail, Noor Azlan Kamaruddin, Sasya Fazleen Md Zain, Raziyah Abdullah dan Baharin Sukiman
Ringkasan
Hampir 70% kos pengeluaran bagi penternakan ruminan datang daripada kos makanan. Oleh itu, sumber foraj memainkan peranan yang sangat penting dalam pemakanan ruminan kerana di samping kos yang rendah ia dapat memenuhi keperluan nutrien ternakan. Rumput napier atau juga dikenali sebagai rumput gajah (Pennisetum purpureum) adalah salah satu spesies rumput foraj yang banyak terdapat di kawasan tropika dan subtropika. Napier Pak Chong adalah hasil kacukan rumput Napier Pennisetum purpureum dan Pennisetum glaucum (milet mutiara). Potensi variasi hibrid Napier Pak Chong di Malaysia masih belum diketahui sebagaimana variasi napier seperti Napier Taiwan, Napier India, Napier Zanzibar, Napier Merah, Common Napier, Dwarf Napier dan lain-lain yang telah banyak diusahakan oleh penternak atau pengusaha persendirian. Oleh itu, kajian bagi rumput Napier Pak Chong ini telah dijalankan dan mendapati bahawa rumput ini sesuai ditanam di tanah tempatan. Hasil kajian ini menunjukkan potensi hasil tuaian dan kandungan nutrien Napier Pak Chong menghampiri variasi napier yang lain. Hasil berat kering per hektar bagi setiap tuaian adalah rendah dan kurang ekonomik semasa pemotongan pada umur lima minggu, tetapi kualiti yang diterima ternakan adalah terbaik. Manakala pemotongan rumput Napier Pak Chong pada umur lapan minggu memberikan hasil bahan kering per hektar setiap tuaian yang lebih tinggi dan kandungan nutrien sedikit rendah namun mencukupi bagi ternakan ruminan.