Komposisi nutrien sorgum di tanah Bris
Thayalini Kathiraser, Nasyah Rita Azira Mohd Abdul Nasir, Thiyagu Devarajan, Muhammad Najib Othman Ghani dan Mohd Rosly Shaari
Ringkasan
Industri ternakan memainkan peranan penting dalam usaha menstabilkan ekonomi negara. Negara masih lagi bergantung kepada import daging dan susu kerana industri ternakan masih kecil. Untuk mengembangkan industri ini, bekalan makanan ternakan seperti foraj haruslah mencukupi. Dengan penggunaan optimum tanah-tanah yang bermasalah seperti tanah Bris, bekalan makanan ternakan ruminan seperti foraj dapat ditingkatkan untuk memenuhi keperluan tempatan dan tidak perlu bergantung sepenuhnya terhadap makanan yang diimport. Selain itu, sumber makanan ternakan yang berkualiti seperti foraj sorgum mampu memenuhi keperluan nutrien ternakan ruminan. Dalam kajian ini, kandungan nutrien untuk tiga variasi hibrid foraj sorgum iaitu Mega Sweet (MS), Brown Midrib (BMR) dan Sugar Graze (SG) yang ditanam di tanah Bris dengan jarak tanaman yang berbeza telah dianalisis. Keputusan yang diperoleh menunjukkan hasil tuaian untuk MS adalah paling tinggi untuk tuaian pertama walau bagaimanapun kualiti nutrien tidak berbeza antara ketiga-tiga hibrid tersebut. Untuk tuaian kedua pula, kandungan protein untuk BMR adalah lebih tinggi namun tiada perbezaan antara hasil tuaian MS, BMR dan SG. Kualiti nutrien juga tidak dipengaruhi oleh jarak antara tanaman. Justeru, ketiga-tiga hibrid sorgum yang dikaji berpotensi untuk ditanam di tanah Bris.