Sumber genetik kerabat liar keledek di tanah tinggi: Kepelbagaian, morfologi dan kepentingan

Category: Bil. 30

Siti Sofiah Mohamad, Khadijah Awang, Mohd Nor Awaluddin, Mohd Khairuddin Othman, Ahmad Syahman Mohd Dalee dan Mohd Shukri Mat Ali

Ringkasan
Hasil kajian mendapati hanya dua spesies keledek liar yang dijumpai hidup di kawasan tanah tinggi iaitu Ipomoea cairica (L.) Sweet dan Ipomoea indica (Burm.) Merr. I. cairica dan I. indica juga boleh dijumpai di kawasan tanah rendah yang berdekatan dengan kawasan berair. I. cairica merupakan pokok jenis melilit dengan daun berbentuk digitat yang terbahagi kepada tujuh pecahan kecil dengan ukuran 3 – 6 cm panjang dan lebar. Mempunyai bunga 2 – 6 cm lebar dan 3 – 7 cm panjang dengan warna ungu cair pada keseluruhan bunga dan ungu gelap di bahagian dalam bunga. I. cairica mempunyai empat stamen, sepal berbentuk oval dan tiada bulu halus. Kapsul biji berbentuk ovoid atau semiglobos dengan ukuran 0.9 – 1.2 cm panjang dan 0.8 – 1.0 cm lebar. I. indica merupakan pokok jenis menjalar dan melilit dengan daun besar dan berbulu halus berukuran 5 – 10 cm panjang dan 5 – 9 cm lebar. Mempunyai petiol yang panjang sehingga mencapai 10 cm. Bunga I. indica bersaiz besar dengan ukuran 3 – 8 cm panjang dan 2 – 5 cm lebar, berwarna ungu gelap pada bahagian pangkal dan merah jambu serta putih pada bahagian tiub corola. I. indica mempunyai lima stamen dan sepal berwarna hijau dan berbulu halus. Kerabat liar keledek ini sangat mudah untuk dibiakkan dengan menggunakan kaedah pemotongan batang dan kurang terdedah dengan ancaman penyakit. Kerabat liar keledek mempunyai potensi yang luas untuk diterokai yang boleh diguna pakai oleh para pembaikbaka untuk menghasilkan baka yang lebih rintang kepada perubahan persekitaran. Ia juga boleh dijadikan sebagai salah satu sumber kepelbagaian genetik dalam membantu aktiviti pembaikbakaan di samping dapat menjamin salah satu sumber bekalan makanan negara dan dunia.

Teks penuh (857KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.