Pemuliharaan sumber genetik keladi sebagai makanan alternatif untuk masa hadapan
Nor Asiah Ismail, Nurshahidah Mohd Rusli, Zulhairil Ariffin, Umikalsum Mohamed Bahari, Rosliza Jajuli dan Roslee Painudy
Ringkasan
Secara amnya kepentingan sumber genetik tanaman adalah bergantung kepada manfaat penggunaan yang ditawarkan oleh sesuatu spesies. Sumber genetik merupakan titik permulaan bagi proses penambahbaikan tanaman. Dengan perubahan iklim yang tidak menentu dan permintaan sumber alternatif untuk memenuhi keperluan pemakanan serta meningkatkan jaminan bekalan makanan, keladi dilihat berpotensi untuk diketengahkan. Keladi merupakan salah satu tanaman yang terdapat di kebanyakan negara di Asia, Pasifik, Afrika dan Caribbean dan ciri lasaknya tidak seperti tanaman utama yang lain. Keladi sesuai ditanam di beberapa jenis tanah marginal serta di persekitaran iklim yang pelbagai. Dari segi pemakanan, keladi merupakan sumber ubian yang kaya dengan karbohidrat, protein dan mineral. Aktiviti pengumpulan, pemuliharaan dan penilaian awal sumber genetik keladi telah dijalankan bagi kegunaan kajian keladi pada masa hadapan. Malaysia mempunyai populasi semula jadi pelbagai varieti keladi yang mudah ditemui. Walau bagaimanapun, kebanyakan varieti tersebut belum dikaji dan dipulihara secara efektif. Usaha pemuliharaan ini diharap dapat menyediakan sumber untuk pelbagai kajian bagi penambahbaikan tanaman keladi dan seterusnya dapat menyumbang kepada industri pertanian negara.