Kesan rawatan pengawetan (curing) dan penyimpanan suhu ambien ke atas kualiti lepas tuai ubi keladi putih

Category: Bil. 30

Zaulia Othman, Nur Allisha Othman, Noor Ismawaty Nordin, Mohd Effendi Mohamed, Norma Hussin, Suriani Mohd Noor, Mohd Shukri Mat Ali@Ibrahim, Noor Safuraa Samsudin, Mohd Hafizi Zamberi, Muhammad Faris Mohd Rodzi, Muhammad Faidhi Towhid, Nur Syafieqa Zailani, Shahrizawati Sabri, Maimun Tahir, Razali Abd Rahman, Rozlaily Zainol dan Umikalsum Mohamed Bahari

Ringkasan
Rawatan pengawetan (curing) adalah proses pendedahan hasilan segar pada suhu tinggi dengan mengawal kelembapan relatif (RH) persekitaran bekas atau bilik rawatan. Rawatan ini dilakukan untuk memulihkan hasilan daripada kecederaan mekanikal pada bahagian permukaan kulit seperti luka, melecet dan tersagat semasa penuaian. Dalam kajian ini, ubi keladi putih dilakukan rawatan curing pada 1, 2, 3 dan 4 hari pada suhu 25 °C, RH 85 – 95% dan ubi keladi tanpa rawatan curing sebagai kawalan. Selepas rawatan curing, ubi keladi disimpan selama tujuh hari pada suhu ambien (27 °C). Kualiti ubi keladi dinilai terhadap perubahan fisiologi dan fizikal. Kajian mendapati, tanpa pengawetan (kawalan) menyebabkan pseudostem terus layu dan kecut. Pengawetan dapat mengekalkan kesegaran pseudostem hingga hari keempat dalam suhu ambien, tetapi menggalakkan pertumbuhan pucuk baharu. Isi ubi keladi tanpa proses pengawetan cenderung menjadi bergabus (disebabkan oleh kehilangan air dan kelembapan). Pengawetan didapati sangat signifikan untuk mengatasi masalah isi ubi bergabus. Ubi keladi yang menjalani proses pengawetan dalam tempoh 2 – 3 hari menunjukkan kualiti yang paling baik setelah disimpan pada suhu ambien iaitu yang paling kurang isi bergabus. Tempoh pengawetan 1 – 3 hari sangat mempengaruhi kelembutan tekstur isi yang menunjukkan isi lembap dan segar, manakala ubi tanpa rawatan dan rawatan melebihi tempoh (empat hari pengawetan) menyebabkan isi keras dan kering). Keamatan warna kulit (chroma) menurun berbanding dengan sampel kawalan bermakna kulit kurang menjadi gelap. Tempoh pengawetan tidak mempengaruhi tekstur, kecerahan kulit (L), chroma isi dan hue kulit. Hue isi menurun dengan ketara bagi tempoh pengawetan empat hari menunjukkan berlaku pemerangan isi.

Teks penuh (871KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.