Pencirian morfologi aksesi kesum untuk germplasma

Category: Bil. 30

Ainon Dzahirah Zulkafli, Mazidah Mat, Siti Sofiah Mohamad, Ahmad Syahman Mohd Dalee dan Mohammad Syazwan Zahari

Ringkasan
Kesum (Persicaria minor) merupakan tumbuhan ubatan yang biasanya digunakan dalam masakan Malaysia, tetapi semakin menarik minat saintifik dalam bidang farmakologi disebabkan kandungan alifatik aldehid dan pelbagai sebatian fitokimia berfungsi yang terdapat didalamnya. Objektif kajian ini adalah untuk melihat variasi kesum berdasarkan ciri morfologinya. Dua puluh aksesi kesum dikumpulkan dan dikaji ciri morfologinya secara kualitatif dan kuantitatif. Ciri kualitatif dibezakan dengan pemerhatian corak ‘V’ berwarna kelabu pada permukaan atas daun dan variasi habit pertumbuhan pokok. Panjang daun, lebar daun, jumlah daun, tinggi tanaman, kanopi tanaman, jumlah cabang utama, diameter batang dan berat basah direkodkan untuk parameter kuantitatif. Hasil kajian menunjukkan bahawa 10 aksesi mempunyai corak ‘V’ berwarna kelabu di permukaan atas daun dan 10 aksesi lain tidak mempunyai corak tersebut. Dua tabiat pertumbuhan yang dicerap menerusi kajian ini adalah pertumbuhan menegak ke atas dan pertumbuhan menjalar kemudian menegak ke atas. Lapan aksesi pula tumbuh menegak ke atas dan selebihnya menjalar kemudian menegak ke atas. MKSM003 mempunyai bilangan daun tertinggi
dan yang terendah ialah MKSM020. Julat purata panjang daun adalah daripada 5.1 – 7.7 cm dan julat purata untuk lebar daun ialah 1.64 – 2.41 cm. MKSM018 mempunyai ketinggian tertinggi iaitu 70.3 cm dan MKSM011 adalah yang terendah. Untuk berat basah, MKSM008 memiliki nilai tertinggi iaitu 163.9 g. Hasil kajian menunjukkan terdapat beberapa variasi pada aksesi kesum terutama pada tanda daun dan habit pertumbuhan. Datadata tersebut boleh digunakan sebagai informasi asas yang berharga dalam mewujudkan janaplasma kesum tempatan.

Teks penuh (950KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.