Sambung nyawa: Morfologi, kegunaan dan propagasi

Category: Bil. 30

Khadijah Awang, Izlamira Roslan, Ahmad Arif Ismail, Mazlina Ramly, Farah Huda Sjafni Suherman dan Samsiah Jusoh

Ringkasan
Genus Gynura Cass. atau dikenali sebagai pokok sambung nyawa di Malaysia terdiri dalam keluarga Asteraceae. Terdapat lima spesies natif yang boleh ditemui di Malaysia. Pengumpulan pokok sambung nyawa di Malaysia telah berjaya mengumpul G. procumbens (sambung nyawa hijau) yang merupakan spesies natif dan tiga spesies bukan natif iaitu G. bicolor (sambung nyawa ungu), G. pseudochina (sambung nyawa batik) dan G. japonica (pokok dewa). Keempat-empat spesies ini dapat dibezakan dengan variasi warna dan bentuk daun dan hanya G. japonica yang mempunyai akar yang berisi seperti rizom. Daun muda kebiasaannya boleh dimakan untuk dijadikan ulam dan daun G. procumbens digunakan oleh penduduk negara ini untuk merawat penyakit kencing manis. Gynura bicolor atau dikenali sebagai bayam Okinawa digunakan sebagai sayuran dan juga digunakan untuk merawat penyakit kencing manis. Gynura pseudochina dan G. japonica selalunya dijadikan sebagai tanaman pasuan oleh penduduk negara ini kerana corak daun yang menarik. Penggunaan tradisional yang meluas sebagai sumber ubatan dan dokumentasi farmakologi keempat-empat spesies ini telah banyak dikaji. Dalam kajian ini, fokus kami adalah terhadap spesies natif dan bukan natif yang ditanam di Malaysia untuk pencirian dan pemuliharaan. Kajian di tapak semaian menggunakan keratan batang dan pucuk berukuran 10 cm panjang telah dijalankan bagi tiga spesies untuk menentukan spesies yang berpotensi mengeluarkan hasil daun yang tinggi. Keratan batang dan pucuk spesies natif G. procumbens menghasilkan jumlah daun yang paling tinggi berbanding dengan spesies bukan natif G. bicolor dan G. pseudochina.

Teks penuh (1.94MB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.