Pembaikbakaan varieti padi tempatan dengan ciri rintang/tahan tekanan biotik dan abiotik menggunakan kaedah pemilihan berbantu penanda molekul

Category: Bil. 30

Rahiniza Kamaruzaman, Mohd Shahril Firdaus Ab Razak, Shamsul Amri Saidon, Kogeethavani Ramachandran, Asfaliza Ramli, Elixon Sunian, Zakiah Mohd Zuki, Hamidah Mohd Sarif, Amalina Othman, Norhidayah Zakaria, Yusof Mahmat, Rubiahton Mohamad, Mohammad Hariz Abdul Rahman, Norlida Mohamed Hamim, Site Noorzuraini Abd Rahman, Mohd Aziz Rashid, Shaidatul Azdawiyah Abdul Talib dan Mohamad Zabawi Abdul Ghani

Ringkasan
Pengeluaran padi tempatan menyumbang kepada 70% daripada keperluan beras rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun, tanaman padi terdedah kepada serangan penyakit dan perosak serta perubahan iklim yang ekstrim. Oleh itu, pembangunan varieti padi baharu dengan ciri rintang tekanan biotik (penyakit dan perosak) dan tahan tekanan abiotik (banjir dan kemarau) menggunakan pembaikbakaan berbantu penanda molekul giat dilaksanakan bagi mengurangkan kehilangan hasil padi apabila berlakunya serangan penyakit dan perosak atau bencana alam. Beberapa gen rintang penyakit hawar daun bakteria (BLB), tahan kemarau dan terendam telah dikenal pasti dan diintrogresi ke dalam varieti tempatan. Saringan genotipik dilaksanakan pada setiap generasi dengan menggunakan penanda molekul seperti SSR, SNPs dan CAPS bagi menyingkirkan titisan yang tidak membawa gen yang disasarkan. Selain itu, saringan fenotipik juga dijalankan bagi membuat pemilihan titisan yang berpotensi rintang penyakit atau tahan tekanan abiotik. Penambahbaikan ciri rintang penyakit hawar daun bakteria dilaksanakan melalui kacukan varieti MR 263 dengan induk penderma gen rintang Xa7 (IRBB7). Titisan awal disaring menggunakan penanda molekul SNP manakala saringan fenotipik menggunakan patotip Xanthamonas oryzae dominan tempatan (Xoo1). Bagi penambahbaikan ciri tahan terendam, varieti MR 253 dikacuk dengan induk penderma gen Sub1 (Swarna-Sub1) dan saringan fenotipik dilaksanakan pada peringkat vegetatif iaitu terendam selama 14 hari pada kedalaman 1 m. Selain itu, penambahbaikan ciri tahan kemarau dijalankan dengan kacukan varieti MARDI Siraj 297 dengan induk penderma gen berkaitan dengan ciri pemanjangan akar (Kinandang Patong), qDTY2.3 dan qDTY6.1 (Vandana). Saringan fenotipik mensasarkan tekanan kemarau pada peringkat reproduktif kerana ia merupakan peringkat pertumbuhan pokok padi yang paling sensitif terhadap tegasan air kerana berlakunya kemandulan spikelet dan seterusnya mengurangkan hasil padi. Sebagai kesimpulan, penggunaan penanda molekul dalam program pambaikbakaan telah berjaya mengurangkan jumlah populasi titisan awal yang perlu disaring dan sangat tepat dalam mengenal pasti titisan yang membawa gen rintang/tahan untuk dimajukan ke generasi seterusnya.

Teks penuh (3.34MB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.