Eksplorasi hubungan genetik terung tradisional berpotensi untuk program pembaikbakaan

Category: Bil. 30

Zulhairil Ariffin, Maya Izar Khaidizar, Nor Asiah Ismail, Aminah Mahmud, Umikalsum Mohamed Bahari dan Nuradni Hashim

Ringkasan
Terung tradisional seringkali dilabelkan sebagai terbiar, jarang digunakan dan kurang ditanam secara meluas berbanding dengan varieti terung komersial (Solanum melongena) seperti terung panjang biru, terung bulat dan terung ungu besar. Antara faktor yang menyebabkan ia kurang popular adalah kurangnya promosi meluas, tiada kesedaran awam dan pengetahuan amat terhad sebagai panduan petani menjalankan pertanian berskala besar. Walau bagaimanapun, terung tradisional amat berpotensi kerana ia juga mempunyai nilai-nilai baharu yang harus diterokai berikutan takungan genetik terung yang semakin mengecil. Antara aksesi terung tradisional yang terdapat dalam koleksi MyGeneBank™ adalah seperti terung pipit, terung asam, terung bulu, terung telunjuk, terung rapuh dan terung susu. Kajian DNA molekul telah berjaya memperoleh jujukan DNA aksesi terung tradisional dengan menggunakan kawasan kod plastid, gen Maturase K (matK), termasuk tujuh varieti terung yang lain iaitu terung bulat sebiji, terung panjang biru, terung panjang, terung ungu besar, terung putih asal, BR13 dan MTE2. Saringan kawasan jujukan DNA ke atas semua terung telah dijalankan menggunakan enjin pengenalpastian tumbuhan di laman sesawang Barcode of Life Database Systems (BOLDSYSTEMS). Hasil padanan jujukan DNA menunjukkan bahawa nilai kesamaan yang tinggi (>99%) telah diperoleh bagi aksesi terung telunjuk, terung bulu, terung asam, terung susu dan terung rapuh kepada spesies Solanum seperti S. kurzii, S. pubescens, S. linnaeanum dan S. incanum. Pohon filogenetik juga telah dibina menggunakan kaedah Neigbor Joining dan model Juke Cantor bersama Capsicum annuum sebagai kumpulan luar. Nilai bootstrap yang tinggi telah merangkumkan terung asam, terung bulu, terung bulat sebiji dan terung MTE2 bersama BR13 dalam dua kumpulan berasingan. Terung pipit yang juga dikenali sebagai kerabat liar terung iaitu Solanum torvum telah dipisahkan sepenuhnya daripada yang lain pada nilai bootstrap 65%. Ini menunjukkan aksesi/varieti terung dalam kumpulan tersebut mempunyai hubungan yang rapat dan berkongsi leluhur yang sama. Kajian ini juga menunjukkan bahawa terung tradisional dan varieti terung yang lain mempunyai nilai kepelbagaian genetik yang tinggi. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa terung tradisional amat berpotensi menjadi sumber genetik terpilih bagi menambah baik strategi program pembaikbakaan di samping memperkasakan pemuliharaan sumber genetik terung secara in situ dan ex situ.

Teks penuh (1.93MB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.