Kesan terhadap ciri hasil dan ciri berkaitan hasil pada hibrid cili berasaskan induk mandul jantan sitoplasma
Norfadzilah Ahmad Fadzil dan Mohd. Raimi Abd. Kuadi
Ringkasan
Proses penghibridan cili secara konvensional adalah agak rumit kerana saiz bunga yang kecil, ciri bunga yang hermafrodit dan menjalankan pembiakan secara kacuk sendiri. Penggunaan induk mandul jantan dijangka memudahkan proses penghasilan biji benih di mana proses emaskulasi anter tidak diperlukan, kecederaan pada bunga dapat dielakkan dan kadar kejayaan penghibridan dijangka akan meningkat. Kertas kerja ini membentangkan dapatan daripada penilaian yang dibuat ke atas enam hibrid berasaskan induk CMS iaitu S1L5, S2L5, S5L5, S1MC12, S4MC12 dan S5MC12 berserta induk-induknya. Secara umumnya prestasi cili hibrid yang berasaskan induk CMS adalah rendah berbanding dengan titisan tulen tempatan. Hibrid dengan prestasi terbaik ialah S4MC12. Bagaimanapun hibrid ini menunjukkan nilai terbaik yang hanya setara dengan beberapa
varieti tulen tempatan iaitu MC12, L5 dan Kulai. Menerusi dapatan ini disimpulkan bahawa penggunaan induk mandul jantan sebagai induk hibrid berkemungkinan untuk menghasilkan progeni yang berhasil rendah. Keserasian induk CMS dan titisan tulen perlu dikaji dengan lebih lanjut untuk mendapatkan hibrid yang berhasil tinggi.