Penyaringan tahap toleransi janaplasma pisang terhadap Ralstonia syzygii
Sivanaswari Chalaparmai, Nur Sulastri Jaffar, Salehudin Md Radzuan, Wan Mahfuzah, Wan Ibrahim, Adnan Ambiah, Ismail K, dan Nurul Enanee Abdul Kadir
Ringkasan
Pisang (Musa sp.) adalah salah satu komoditi buah yang sangat penting di Malaysia. Mata pencarian kebanyakan petani di Malaysia terancam disebabkan oleh penyakit pisang yang teruk. Penyakit darah pisang yang disebabkan oleh Ralstonia syzygii adalah salah satu penyakit bakteria yang paling penting, meluas dan boleh merundumkan industri tanaman pisang. Sehingga kini, tidak ada pilihan kawalan kimia yang berkesan untuk penyakit ini. Keperluan untuk mencari varieti toleran dan rintang penyakit sangat penting untuk menggantikan kultivar komersial yang rentan dan juga untuk tujuan pembaikbakaan selanjutnya. Justeru, satu kajian bagi menentukan aksesi pisang yang toleran telah dijalankan. Sebanyak 128 aksesi pisang di dalam koleksi janaplasma pisang MARDI diuji dengan Ralstonia syzygii di plot hotspot MARDI Sintok. Kajian ini dijalankan di dalam reka bentuk secara rawak dengan lima replikasi untuk setiap aksesi pisang. Pemerhatian dibuat selama dua musim kitaran penanaman pada tahun 2017 dan 2018. Sebanyak 10 aksesi dikenal pasti sangat toleran terhadap Ralstonia syzygii termasuk Pisang Masam, THU GIA KUL 609, Jari Buaya IMTP3, Putar, CV Rose, GCTGV-215, Pisang Hijau, FHIA 01, Balbisiana KUL dan Peninjau. Manakala, terdapat 13 aksesi yang toleran terhadap Ralstonia syzygii iaitu BURO-CEMSA, Lilin Malaysia, KRA 7730, KRA 7732, FHIA 17, Berlin IMTP3, Oter Sarawak, Kapal Bentong, Pindek, Ceylan IMTP3, Pisang Keladi, Pisang Serindik dan BDI UM wild. Sejumlah 105 aksesi pisang yang lain adalah rentan (ID >70/died) terhadap Ralstonia syzygii. Hasil kajian memberikan maklumat penting mengenai ketahanan sumber genetik pisang terhadap penyakit layu bakteria untuk pemuliharaan dan pembangunan industri pisang di Malaysia.