Teknologi pengeluaran nanas hiasan OC5 secara massa dan ekonomik menggunakan keratan batang
Masnira Mohammad Yusoff, Rozlaily Zainol, Mohd Zafrie Mohd Amin, Mohd Yusmizan Ab Manan dan Muhammad Aliff Fitri Azali
Ringkasan
Pokok nanas sebagai tanaman hiasan semakin diminati dalam kalangan pengguna terutamanya penggemar perkebunan pada masa kini. Nanas hiasan di persekitaran rumah boleh menambah keindahan dan memberi pemandangan eksotik. MARDI telah membangunkan beberapa titisan nanas hiasan yang berpotensi. Salah satunya ialah nanas OC5. Nanas hiasan OC5, yang dibangunkan oleh sekumpulan ahli pembiakbakaan MARDI adalah hasil kacukan antara varieti tempatan Josapine dengan dua genotip (varieti) piping leaf (53-116 dan 59-656). Teknik pengeluaran secara massa yang sesuai sangatlah perlu bagi varieti yang baru diperkenalkan. Teknik pembiakan nanas bergantung kepada morfologi pokok. Untuk pokok nanas OC5 teknik pengeluaran secara massa yang paling sesuai adalah secara keratan membulat. Teknik ini paling sesuai kerana dapat menghasilkan 10 – 24 anak dalam masa 3 – 4 bulan berbanding dengan kaedah konvensional yang hanya boleh menghasilkan 2 – 4 anak dalam tempoh yang sama. Teknik ini juga tidak memerlukan kemahiran teknikal yang tinggi dan sesuai dipraktikkan oleh penggemar tanaman. Analisis ekonomi ke atas pengeluaran varieti OC5 menunjukkan yang varieti ini berdaya maju dengan tempoh pulangan modal selama 29 bulan (2 tahun 5 bulan) dan keuntungan bersih bagi setiap pusingan sebanyak RM10,069.00 untuk kawasan berkeluasan 42 m².