Pencirian nutrien terkandung dalam varieti padi tempatan melalui kajian teknologi transkriptomik, proteomik dan metabolomik

Category: Bil.32

Sew Yun Shin dan Muhamad Ridzuan Abd Rashid

Ringkasan
Padi (Oryza sativa L.) merupakan salah satu komoditi penting yang menjadi makanan ruji dan sumber kalori kepada lebih daripada dua bilion orang. Bijirin padi kaya dengan pelbagai jenis nutrien selain daripada komposisi karbohidrat yang tinggi. Padi berpigmen khasnya mengandungi antioksidan yang signifikan tinggi daripada padi tidak berpigmen. Dengan peningkatan kesedaran orang ramai mengenai nilai pemakanan beras pada masa kini, maklumat molekul dan genetik varieti padi tempatan perlu diterokai dengan pendekatan teknologi omik yang dapat meningkatkan nilai nutrisi varieti padi tempatan melalui aktiviti pembaikbakaan. Artikel ini melaporkan kajian pencirian nutrien pada enam varieti padi tempatan terpilih dengan pendekatan teknologi omik yang merangkumi transkriptomik, proteomik dan metabolomik. Varieti padi terpilih tersebut ialah padi berpigmen hitam (PH9 dan BALI), padi berpigmen merah (MRM 16 dan MRQ 100) dan padi tidak berpigmen (MRQ 76 dan MR 297). Keputusan keseluruhan kajian transkriptomik, proteomik dan metabolomik menunjukkan bahawa ekspresi gen dan protein serta kandungan metabolit berkaitan dengan nutrien bijirin padi (misalnya antioksidan, vitamin, kanji, protein, antioksidan, folat, vitamin, asid lemak dan fitosterol) adalah berbeza dan unik kepada setiap varieti padi tersebut. Namun, didapati juga kandungan pigmen pada varieti padi merupakan faktor penting yang menentukan jenis dan tahap pengekspresan gen, protein atau metabolit tertentu yang menyumbang kepada kandungan nutrien bijirin padi. Maka, adalah dijangkakan bahawa ilmu molekul baharu mengenai sifat kualiti dan nutrisi padi yang dijana daripada kajian omik ini bakal membantu kerja pembaikbakaan padi pada masa hadapan.

Teks penuh (1.59MB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.