Minyak pati sebagai kawalan botani penyakit hawar daun bakteria (BLB) pada pokok padi

Category: Bil.32

Hazalina Zulkifli, Norhayu Asib, Dzolkhifli Omar, Siti Izera Ismail, Mohd Nor Mohd Rosmi, Muhamad Shafiq Abd Karim dan Noor Azlina Masdor

Ringkasan
Penyakit hawar daun (BLB) adalah penyakit vaskular padi yang disebabkan oleh bakteria Xanthomonas oryzae pv. oryzae (Xoo). Gejala jangkitan dapat dilihat bermula daripada mana-mana bahagian daun terutama dari tepi dan hujung daun. Penyakit ini menyebabkan berat bijirin padi menjadi kurang akibat kehilangan luas permukaan daun untuk fotosintesis. BLB juga menyebabkan kehilangan hasil hingga 50% dan menjejaskan kualiti biji padi. Bagi mencegah penyakit ini, petani perlu melakukan semburan dengan racun kimia berasaskan kuprum bermula dari peringkat awal sehingga terbit tangkai. Walau bagaimanapun, racun kimia berasaskan kuprum contohnya kuprum sulfat sangat toksik kepada manusia, haiwan, serangga dan alam sekitar. Kajian awal penggunaan minyak pati sebagai alternatif kawalan botani terhadap bakteria Xoo penyebab penyakit BLB pada padi telah dilaksanakan secara in vitro terhadap enam minyak pati iaitu serai wangi, serai, limau purut, gelam, nilam dan bawang putih. Minyak pati daripada serai dan serai wangi didapati mempunyai ciri-ciri antibakteria dan menunjukkan kesan perencatan terhadap pertumbuhan bakteria Xoo yang dikultur pada agar sukrosa pepton (peptone sucrose agar). Ujian lanjutan terhadap kepekatan perencatan minimum (minimum inhibition concentration) dilaksanakan terhadap minyak pati serai dan serai wangi. Keputusan yang diperoleh mendapati pertumbuhan bakteria Xoo menghadapi perencatan minimum pada kepekatan 0.15% bagi kedua-dua minyak pati tersebut. Minyak pati daripada serai dan serai wangi dilihat berpotensi digunakan sebagai kawalan botani terhadap bakteria Xoo penyebab penyakit BLB pada masa hadapan.

Teks penuh (676KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.