Potensi nano-pestisid sebagai alternatif dalam rawatan awal benih padi yang lestari

Category: Bil.32

Mohd Nor Mohd Rosmi, Noor Azlina Masdor, Nadia Izati Fadzil, Hazalina Zulkifli dan Rosmiza Mohd Zaino

Ringkasan
Sejak kebelakangan ini, cabaran dan isu berkaitan serangan penyakit tanaman padi telah memberi kesan kepada penggiat industri padi negara. Penggunaan racun kimia contohnya larutan kuprum dalam rawatan awal benih padi sebelum proses penanaman untuk menangani penyakit seperti hawar daun bakteria [bacterial leaf blight (BLB)], jalur daun bakteria [Bacterial
leaf spot (BLS)] dan hawar bulir bakteria [bacterial panicle blight (BPB)] telah menjadi satu keperluan. Namun, isu bahaya dan kesan jangka panjang penggunaan bahan kimia secara berterusan boleh menimbulkan risiko kepada kesihatan pengguna dan alam sekitar. Peningkatan keupayaan bahan organik secara nanoteknologi dalam mencegah penularan penyakit tanaman padi seperti BLB dan BPB dengan formulasi terkini nano-emulsi berpotensi menghasilkan produktiviti pertumbuhan benih padi di peringkat awal berada pada tahap optimum. Ekstrak bahan aktif daripada Azadirachta indica mampu merencatkan bakteria Xanthomonas oryzae pv. oryzae (Xoo) yang menyebabkan penyakit BLB pada tanaman padi. Dapatan awal kajian menunjukkan formulasi nano-emulsi berasaskan ekstrak daun neem berupaya merangsang kadar pertumbuhan pucuk dan akar yang sangat baik tanpa memberi tekanan abiotik kepada tumbesaran anak benih padi berbanding dengan kaedah rawatan kuprum. Justeru, bidang nanoteknologi dilihat relevan dalam membantu mempertingkatkan kefungsian bahan aktif yang terdapat dalam sumber organik sebagai kaedah pengurusan dan pengawalan penyakit tanaman padi demi kelestarian sumber makanan negara pada masa hadapan.

Teks penuh (881KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.